JENAYAH & MAHKAMAH

Keputusan Mahkamah Ikut Perlembagaan, Tidak Sangkal Kuasa Prerogatif Agong - Pakar

22/12/2025 08:35 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung titah adendum tahanan rumah adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, menurut pakar Perlembagaan.

Pensyarah Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata ia juga tidak wajar ditafsirkan sebagai penolakan atau penyangkalan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, beliau berkata keputusan mahkamah menegaskan bahawa kuasa pengampunan mesti dilaksanakan melalui tatacara yang ditetapkan, iaitu dengan pertimbangan serta nasihat Lembaga Pengampunan seperti diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, keputusan mahkamah ini tidak menafikan kuasa atau budi bicara Yang di-Pertuan Agong atau Sultan. Apa yang ditegaskan ialah kuasa pengampunan dijalankan melalui Lembaga Pengampunan dan mesti mengikut tatacara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Khairil Azmin menjelaskan Perkara 42 (4) (b) dibaca bersama dengan Perkara 42 (11) memperuntukkan kuasa tersebut dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan.

"Perkara 42 (8) dibaca bersama dengan Perkara 42 (11) menyatakan bahawa Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong atau Yang di-Pertuan Agong itu hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perintah mandamus bagi mengesahkan dan menguatkuasakan titah adendum yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching dalam keputusannya mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024, selain menyatakan titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan adalah tidak sah.

Dalam penghakiman itu, Hakim Loke juga menegaskan perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan di bawah undang-undang Malaysia kerana undang-undang pembebasan bersyarat memberikan kuasa budi bicara sepenuhnya kepada Komisioner Jeneral Penjara.

Mengulas perkara berkenaan, Khairil Azmin berkata ini jelas membuktikan bahawa Mahkamah Tinggi turut meneliti aspek kebolehlaksanaan undang-undang berkaitan hukuman tahanan rumah.

Beliau berkata undang-undang sedia ada di negara ini tidak memperuntukkan tahanan rumah sebagai satu bentuk pelaksanaan hukuman penjara.

Menurut beliau dapatan itu juga mengukuhkan pandangan bahawa hukuman tahanan rumah tidak dibincangkan secara rasmi oleh Lembaga Pengampunan.

“Sekiranya perkara itu dibincangkan dan disyorkan oleh Lembaga Pengampunan, sudah tentu ia akan disokong oleh asas undang-undang yang jelas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505363