AM

Lebih 300 Pegawai Digerak Pantau Harga Barangan Di Sarawak Sempena Krismas

23/12/2025 03:36 PM

KUCHING, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak menggerakkan lebih 300 pegawai bagi memantau pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Krismas tahun ini.

Pengarahnya Matthew Dominic Barin berkata pegawai penguat kuasa dan pemantau harga akan menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan termasuk pasar raya, pasar awam, pasar tani dan kedai runcit bagi memastikan keberadaan bekalan serta pematuhan harga.

“Pemeriksaan dijalankan bagi memantau pematuhan atau menyiasat aduan pengguna supaya mana-mana ketidakpatuhan peniaga boleh diambil tindakan mengikut perundangan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memantau pematuhan SHMMP Krismas di sebuah pasar raya di sini hari ini.

SHMMP Krismas 2025 berkuat kuasa selama lima hari bermula hari ini.

Pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 di Sarawak melibatkan 14 jenis barangan harga terkawal antaranya tomato, cili merah, bawang merah besar dan ubi kentang import (China).

Di Perlis, Pengarah KPDN Perlis Rohaida Hassan berkata sebanyak 39 pegawai penguat kuasa ditugaskan melaksana pemeriksaan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar basah, pasar tani dan pasar raya di seluruh negeri.

“Pendekatan penguatkuasaan secara berhemah terus dilaksanakan dengan memberi pendidikan serta nasihat kepada peniaga, memandangkan sebahagian besar peniaga di Perlis terdiri daripada peniaga kecil dan sederhana," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rohaida berkata hasil pemantauan awal mendapati majoriti peniaga di Perlis mematuhi kawalan harga ditetapkan tanpa menjejaskan kelangsungan aktiviti jual beli, selain tiada aduan kenaikan harga melampau setakat ini.

Beliau berkata bekalan barangan terkawal pula adalah mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505510