Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 24 Dis (Bernama) -- Satu rangka kerja dasar yang komprehensif dan berpandangan jauh perlu diwujudkan bagi membangunkan semula ekonomi Labuan dengan memanfaatkan sepenuhnya lokasinya yang strategik, status Wilayah Persekutuannya dan ekosistem kewangan luar pesisirnya yang mantap.
Pensyarah di Fakulti Kewangan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata Labuan yang diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984, memiliki ciri-ciri unik yang berbeza daripada Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ia terus berkembang sebagai gerbang pelaburan antarabangsa sejak pengisytiharannya sebagai pusat kewangan luar pesisir pada 1990.
“Sejak sekian lama, Labuan telah memainkan pelbagai peranan strategik, sebagai pusat kewangan antarabangsa, hab minyak dan gas, pulau bebas cukai dan pelabuhan persekutuan yang diwartakan, malah kedudukannya di Laut China Selatan bersebelahan Sabah serta Brunei, memberikannya kelebihan yang ketara dari segi geopolitik dan geoekonomi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Bagaimanapun, Prof Tanakinjal berkata pertumbuhan ekonomi Labuan kekal bergantung kepada sektor minyak dan gas, menyebabkan ia terdedah kepada turun naik harga komoditi global, manakala prestasi pelancongan yang lebih lemah dan pelaburan terhad dalam sektor pertumbuhan baharu mengekang pengembangan ekonomi yang lebih meluas.
“Sehubungan itu, dasar yang holistik diperlukan bagi mempelbagaikan struktur ekonomi Labuan, menarik pelaburan strategik dan membina daya tahan ekonomi jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata antara rasional utama bagi dasar baharu itu ialah pergantungan berlebihan terhadap minyak dan gas, kekurangan penggunaan status kewangan bebas cukai dan luar pesisir, dan potensinya sebagai hab pelancongan, perdagangan dan logistik di sepanjang laluan perkapalan antarabangsa utama yang belum diterokai.
Menurut Prof Tanakinjal, kedudukan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan juga membolehkan kerajaan persekutuan melaksanakan dasar bersasar dan peruntukan khas secara terus, tanpa kekangan peringkat negeri.
Katanya, dasar yang dicadangkan itu bertujuan meningkatkan pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar tempatan Labuan antara lima dan tujuh peratus setahun dan mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2030.
Selain itu, ia bertujuan menarik sekurang-kurangnya RM5 bilion pelaburan langsung asing dalam tempoh lima tahun dan menjadikan Labuan sebagai hab serantau bagi kewangan, logistik dan pelancongan serta tenaga baharu di ASEAN.
Beliau yang mengetengahkan kekuatan teras Labuan berkata ekosistem kewangan luar pesisir yang dikawal selia oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, menyediakan platform yang kompetitif bagi struktur rendah cukai, kewangan Islam, insurans dan teknologi kewangan.
Sementara itu, status bebas cukainya meningkatkan tarikan pulau itu bagi aktiviti perdagangan, pelancongan dan gaya hidup.
“Labuan juga memiliki infrastruktur minyak dan gas yang kukuh, termasuk Pangkalan Bekalan Asia, limbungan kapal dan kemudahan fabrikasi, dan telah diwartakan sebagai hab pindah kapal antarabangsa yang sesuai untuk logistik, eksport semula dan e-dagang,” katanya.
Prof Tanakinjal berkata dasar baharu itu perlu memberi tumpuan kepada beberapa sektor, iaitu kewangan antarabangsa, logistik dan perdagangan, minyak dan gas, tenaga baharu, pelancongan, pertanian dan keselamatan makanan, pendidikan dan ekonomi digital.
Mengenai kewangan antarabangsa, beliau berkata Pusat Perniagaan dan Kewangan Perniagaan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) perlu diperkukuhkan menerusi perbankan digital Islam, kewangan hijau dan penawaran teknologi kewangan, disokong oleh ‘sandbox’ aset digital bagi menarik pelaburan berasaskan rantaian blok.
Bagi logistik pula, beliau berkata Labuan boleh dibangunkan sebagai hab perdagangan bebas dan e-dagang serantau, dengan memodenkan pelabuhan termasuk kemudahan rantaian sejuk bagi menyokong eksport agromakanan dan perikanan ke pasaran seperti Jepun, Korea Selatan dan China.
“Dalam sektor minyak dan gas, Labuan boleh melangkah menjangkaui aktiviti huluan kepada segmen hiliran seperti pengisian bahan api LNG, fabrikasi dan penyelenggaraan maritim, di samping melabur dalam tenaga boleh baharu seperti solar, angin luar pesisir dan hidrogen hijau,” tambahnya.
Katanya, Labuan perlu mengembalikan semula kedudukannya sebagai destinasi pelancongan gaya hidup bebas cukai, yang menampilkan pusat peranginan kesejahteraan, marina kapal layar dan pelancongan MICE, selain menawarkan lokasi khusus seperti tapak warisan Perang Dunia Kedua dan ekopelancongan berasaskan terumbu karang.
Dalam pertanian dan keselamatan makanan, Prof Tanakinjal berkata Labuan berpotensi sebagai model kebangsaan melalui akuakultur laut dalam, pemprosesan makanan laut untuk eksport dan inisiatif agropelancongan.
Mengenai pendidikan dan ekonomi digital, beliau berkata Labuan boleh dibangunkan menjadi hab nomad digital dengan ketersambungan berkelajuan tinggi dan visa khas, disokong oleh penubuhan kampus satelit antarabangsa dalam teknologi kewangan, maritim dan pelancongan, serta pelaburan dalam pusat data dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata pelaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun, dari 2025 hingga 2030, bermula dengan mengukuhkan ekosistem dan infrastruktur logisitk Labuan IBFC, diikuti dengan projek pertanian, tenaga dan pelancongan berskala besar, dan kemuncaknya dengan kemunculan Labuan sebagai hab serantau untuk pusat data, AI dan eksport hidrogen.
“Dengan dasar strategik yang tepat, Labuan boleh mengembalikan kedudukannya bukan sahaja sebagai pusat perdagangan dan pelaburan, tetapi juga sebagai aset strategik negara yang menghubungkan Malaysia dengan pasaran ASEAN dan Asia Timur.
“Labuan berpotensi untuk menjadi enjin pertumbuhan baharu untuk Malaysia Timur dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan ekonomi jangka panjang negara,” katanya.
-- BERNAMA