KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan urus niaga Jumaat dengan lebih rendah berbanding peningkatan sebelum ini, ketika pelabur giat melakukan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih.
Pada jam 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.88 mata kepada 1,675.43 daripada 1,678.31 pada Rabu dan dibuka susut 0.81 mata pada paras 1,677.50.
Pasaran ditutup semalam sempena cuti umum Hari Krismas.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 177 berbanding 98 manakala 278 kaunter tidak berubah, 2,221 tidak diniagakan dan 60 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 93.66 juta saham bernilai RM42.60 juta.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street mencatat kenaikan kecil sempena fenomena “Santa Claus rally” untuk ditutup lebih tinggi.
Indeks Perindustrian Dow Jones mencatat satu lagi paras tertinggi apabila pedagang memilih untuk tidak mengendahkan data pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga yang lebih baik dan mengatasi jangkaan awal serta berpotensi merencatkan kemungkinan penurunan kadar faedah negara maju itu.
Di peringkat domestik, beliau percaya aktiviti pembelian kebanyakannya dilakukan oleh institusi tempatan.
“Walaupun persekitaran adalah kondusif untuk dana asing, ramai masih mengelak pasaran tempatan buat masa ini. Berikutan itu, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat antara 1,670 hingga 1,680 pada hari ini,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing susut dua sen kepada RM10.46 dan RM13.58, Public Bank rugi satu sen kepada RM4.51 manakala IHH Healthcare merosot empat sen kepada RM8.63 dan CIMB meningkat satu sen kepada RM8.12.
Bagi saham paling aktif, mTouche Technology, Salutica dan Ekovest masing-masing naik setengah sen kepada 4.5 sen, 22.5 sen dan 29 sen, Zetrix AI dan Mega Fortis masing-masing turun setengah sen kepada 81.5 sen dan 77.5 sen.
Kaunter paling untung United Plantations meraih lapan sen kepada RM29.94, Multi-Usage naik enam sen kepada 40 sen manakala Malayan Cement dan Press Metal menokok lima sen kepada RM7.39 dan RM7.24.
Sebaliknya, kaunter paling rugi setakat pagi ini didahului Malaysian Pacific yang susut 20 sen kepada RM32.22, Petronas Chemicals merosot tujuh sen kepada RM3.61, UWC turun lima sen kepada RM4.20 manakala Solarvest dan Gamuda masing-masing jatuh tiga sen kepada RM3.18 dan RM5.07.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 13.74 mata kepada 12,292.17, Indeks FBMT Top 100 turun 18.49 mata kepada 12,089.05 manakala Indeks FBM ACE meningkat 3.62 mata kepada 4,831.79.
Indeks FBM Emas Syariah turun 19.20 mata kepada 12,115.43 dan Indeks FBM Mid 70 turun 15.18 mata kepada 16,847.34.
Selain itu mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 4.22 mata kepada 8,283.93, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 12.04 mata kepada 19,611.95, Indeks Tenaga merosot 0.58 mata kepada 766.10 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.19 mata kepada 173.82.
-- BERNAMA