SUKAN

Nur Aisyah Buktikan Saiz Fizikal Bukan Penghalang Raih Emas Sukan SEA

26/12/2025 02:24 PM

CHUKAI, 26 Dis (Bernama) -- Pelumba berbasikal negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir, yang memenangi emas dalam acara scratch wanita pada Sukan SEA Thailand 2025 baru-baru ini, membuktikan bahawa saiz fizikal yang kecil bukanlah penghalang untuk bergelar juara pada peringkat antarabangsa.

Gadis berusia 28 tahun yang digelar poket rocket women itu berkata beliau tidak mudah menyerah kalah walaupun berdepan dengan pelumba luar negara yang memiliki tubuh lebih tinggi dan fizikal yang besar.

“Ada yang menyatakan saya tidak boleh berjaya dalam sukan itu kerana saiz fizikal yang kecil, namun anggapan tersebut tidak pernah melemahkan semangat ini untuk terus berusaha mengejar kemenangan," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Banggol Kiri, di sini hari ini.

Pada temasya sukan itu, Nur Aisyah turut memenangi dua pingat perak dalam acara berbasikal lebuh raya dan kriterium wanita.

Mengimbas kembali penglibatan awalnya dalam sukan berbasikal, Nur Aisyah berkata beliau mula berjinak-jinak dalam sukan itu semasa tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok sebelum menjalani latihan bersama dengan Chukai Cycling Club.

Kemudian, beliau terpilih mewakili Terengganu ketika berada dalam tingkatan empat dan seterusnya menyertai beberapa kejohanan peringkat kebangsaan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2014, 2016 dan 2018.

"Daripada tiga kejohanan SUKMA yang disertai, saya berjaya merangkul 12 pingat emas dalam pelbagai kategori dipertandingkan," katanya.

Nur Aisyah berkata beliau menyertai pasukan negara pada 2019 dan mendapat pendedahan awal dengan menyertai beberapa pertandingan lumba basikal di dalam dan luar negara termasuk Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara lebuh raya.

"Pada masa ini, saya mengikuti latihan sepenuh masa bersama-sama pasukan kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan untuk persediaan menyertai Sukan Komenwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia 2026 di Jepun.

"Kalau boleh selepas ini, saya nak pergi lebih jauh … saya nak bawa Jalur Gemilang dan harumkan nama negara ke seluruh dunia," katanya.

Beliau turut menjadikan raja dan ratu berbasikal negara, iaitu Datuk Mohd Azizulhasni Awang serta Fatehah Mustapa yang juga berasal dari Terengganu, sebagai idola dan berhasrat mencapai kejayaan setaraf dengan mereka.

Katanya, kedua-dua atlet berkenaan sentiasa memberikan tunjuk ajar dan menyuntik semangat untuk memastikan beliau terus berjaya dalam sukan berkenaan.

“Kalau mereka boleh berjaya, mengapa saya tidak? Saya sentiasa mencabar diri dan percaya suatu hari nanti saya juga mampu mencapai tahap seperti mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Aisyah berkata sokongan padu daripada ibu bapanya Mohamad Zubir Sulong, 57, dan Rapeah Said, 56, turut menjadi pembakar semangat utama sepanjang penglibatannya dalam sukan berbasikal.

“Walaupun saya berasal daripada keluarga nelayan dan hidup serba sederhana, saya berazam untuk mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik melalui kejayaan dalam sukan yang saya cintai ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506286