JENAYAH & MAHKAMAH

Beberapa Laluan Di Kuala Terengganu Ditutup Akibat Banjir Kilat

26/12/2025 02:28 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Dis (Bernama) -- Beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini ditutup akibat dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata antara jalan yang terjejas ialah Jalan Sultan Omar, Jalan Kamaruddin, Jalan Sultan Ismail menghala ke Bulatan Ladang serta Jalan Kamarudin menghala ke Pengadang Akar. 

"Anggota polis telah digerakkan ke kawasan terlibat bagi memantau keadaan dan membantu kelancaran lalu lintas. Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk berhati-hati serta mematuhi papan tanda amaran banjir yang diletakkan. 

"Jika boleh tangguhkan dahulu perjalanan ke kawasan bandar buat sementara waktu hingga keadaan jalan yang dinaiki air kembali surut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam kenyataan memaklumkan beberapa laluan di universiti tersebut ditutup akibat dinaiki air termasuk di Kompleks Sukan dan laluan di hadapan Kompleks Siswa.

"Warga UMT dinasihatkan berhati-hati ketika menunggang motosikal atau memandu kenderaan serta sentiasa mematuhi arahan trafik kampus," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka melanda empat negeri bermula semalam.

Kawasan yang terlibat ialah seluruh Terengganu dan Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang serta Pasir Puteh dari 25 hingga 28 Dis ini.

Keadaan sama dijangka melanda Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) dari 26 hingga 29 Dis. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506297