JENAYAH & MAHKAMAH

Operator Kilang Dipenjara Sebulan Ugut Simbah Asid, Bunuh Ibu Kandung

26/12/2025 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Seorang operator kilang dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mengugut untuk menyimbah asid dan membunuh ibu kandungnya.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Razak Manaf, 34, dan memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 22 Dis lepas.

Abdul Razak didakwa melakukan ugutan jenayah kepada mangsa berumur 72 tahun dengan berkata “Aku simbah asid dan bunuh kau”, dengan niat mendatangkan ketakutan akan kematian atau cedera parah kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Cheras pada 4 petang, 22 Dis lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian berlaku perselisihan faham antara tertuduh dan ibunya kerana mangsa meminta semula telefon bimbitnya yang diambil tertuduh, sebelum tertuduh yang tidak berpuas hati bertindak mengugut mangsa dengan menyatakan mahu menyimbah asid serta membunuhnya.

Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan ugutan itu melibatkan niat untuk membunuh dan menyimbah asid terhadap ibu kandungnya sendiri.

Abdul Razak pula merayu hukuman ringan kerana dia bapa tunggal dan perlu menyara lima anak berumur antara tiga hingga 11 tahun selain kes itu adalah kesalahan pertama dan telah memohon maaf kepada mangsa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506335