PASARAN

Niaga Hadapan MSM Diniagakan Rendah Minggu Depan Susulan Pengambilan Untung

27/12/2025 10:51 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan susulan pengambilan untung selepas kenaikan baru-baru ini, kata peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh.

Beliau berkata minggu depan akan menjadi minggu dagangan pendek kerana kebanyakan peniaga minyak sawit antarabangsa menyambut perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

"Kami menjangkakan harga akan berada di antara RM3,800 dan RM3,900 setiap tan minggu depan yang akan menarik minat pembeli fizikal terutamanya dari China, India, Pakistan, Kesatuan Eropah, negara-negara Timur Tengah dan Amerika Syarikat," katanya kepada Bernama.

Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya ditutup pada 25 Disember bagi menyambut perayaan Krismas dan memulakan semula operasi pada 26 Disember.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, kontrak Januari 2026 naik RM156 kepada RM4,060 setiap tan, Februari 2026 meningkat RM177 kepada RM4,082 dan Mac 2026 melonjak RM178 kepada RM4,089.

Kontrak April 2026 berkembang sebanyak RM169 kepada RM4,085 setiap tan, Mei 2026 menambah RM158 kepada RM4,072 dan kontrak Jun 2026 berada pada RM4,049.

Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 239,880 lot daripada 408,456 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka merosot kepada 257,694 kontrak daripada 276,507 kontrak minggu sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Disember Selatan meningkat sebanyak RM130 kepada RM4,080 setiap tan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506500