PASARAN

Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Berbanding Dolar AS Minggu Depan

27/12/2025 10:24 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, berlegar antara 4.03 dan 4.05 berbanding dolar AS di tengah-tengah minggu dagangan yang pendek berikutan cuti umum.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keadaan ini disebabkan terutamanya oleh sambutan Tahun Baharu pada Khamis dan kekurangan pemangkin pasaran.

“Besar kemungkinan dolar AS dan Ringgit Malaysia akan terus berlegar dalam jajaran kecil minggu depan, mungkin sekitar 4.03 hingga 4.05, berikutan ketiadaan petunjuk khususnya dari segi data-data baharu,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata selepas melepasi paras 4.00 berbanding dolar AS buat kali kedua sejak Jun 2018, ringgit bergelut untuk mengekalkan pergerakan di bawah paras itu selama hampir tujuh tahun.

“Kami mengekalkan unjuran akhir 2025 pada paras 4.08 berbanding dolar AS sejak Mei, tetapi mendapati terdapat ruang untuk ringgit menutup tahun ini menghampiri paras 4.00 berbanding dolar AS. Tahap ini berkemungkinan menjadi paras rintangan yang kuat,” katanya dalam nota penyelidikan.

Ia berkata kekuatan dolar AS yang bermusim pada suku pertama 2026, digabungkan dengan naratif pertumbuhan AS yang masih berdaya tahan, boleh mendorong pasangan mata wang berkenaan kembali ke paras sekitar 4.05 hingga 4.10 berbanding dolar AS pada awal tahun.

“Selepas itu, ringgit sepatutnya semakin mengukuh ke arah nilai saksama jangka panjangnya apabila sokongan struktur terhadap dolar AS terus terhakis,” katanya.

Mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur minggu ini, dibuka pada 4.07 sebelum mengukuh kepada 4.0410 pada pagi Jumaat, kemudian susut untuk menutup minggu dagangan pada 4.0470.

Pada 8 pagi semalam, ringgit melonjak kepada 4.0410/0495 berbanding dolar AS daripada 4.0425/0515 ketika ditutup Rabu, paras tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun. Ringgit sebelum ini pernah mencapai paras 4.0450/0443 pada 26 Februari, 2021.

Pasaran ditutup pada Khamis sempena cuti umum Hari Krismas.

Awal minggu ini, mata wang tempatan itu dipengaruhi oleh jangkaan pemotongan kadar faedah AS dan keyakinan yang menurun dalam kalangan pengguna AS.

Secara mingguan, ringgit mengukuh berbanding dolar AS, ditutup lebih tinggi kepada 4.0470/0535 daripada 4.0740/0785 pada akhir minggu lalu.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5866/5909 daripada 2.5909/5940 seminggu sebelumnya, meningkat berbanding euro kepada 4.7629/7706 daripada 4.7715/7767, tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.4570/4657 daripada 5.4514/4574 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 241.6/242.2 daripada 243.2/243.6 ketika ditutup pada Jumaat sebelumnya, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1497/1550 daripada 3.1515/1553 seminggu sebelumnya dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.89/6.90 daripada 6.94/6.95.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu susut berbanding baht Thailand kepada 13.0212/0484 daripada 12.9428/9620 sebelumnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506501