AM

Warga Emas Pindah Tiga Kali Dalam Tempoh Sebulan Akibat Banjir

27/12/2025 06:35 PM

KUALA NERUS, 27 Dis (Bernama) -- Seorang warga emas dari Kampung Pak Tijah di sini, terpaksa berpindah tiga kali ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam tempoh sebulan selepas kediamannya dilanda banjir.

Fatimah Mahmud, 74, berkata kali pertama dia berpindah pada akhir November lepas apabila rumahnya dinaiki air setinggi paras lutut.

Fatimah yang tinggal bersama cucu lelakinya berkata kejadian kedua berlaku ketika banjir pada 14 Dis lepas, manakala kali ketiga pada kira-kira 3 petang semalam selepas kediamannya dinaiki air separas pinggang.

"Banjir kali ketiga ini air naik cepat dan mendadak disebabkan hujan tidak henti-henti sejak malam kelmarin. Pada 7 pagi semalam air dah mula naik hingga paras lutut.

"Nasib baik ketika itu cucu makcik yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ada di rumah. Cucu yang pindahkan peti ais, mesin basuh dan barang-barang lain ke bahagian ruang tamu yang lebih tinggi kerana kawasan dapur air dah naik tinggi," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal di sini hari ini.

Fatimah yang menghidap penyakit asma berkata setiap tahun dia terpaksa berpindah ke PPS kerana kawasan kampungnya sering dinaiki air dan walaupun letih, setiap kali itu juga dia menggagahkan diri membantu cucunya melakukan kerja pembersihan kerana ingin segera pulang ke rumah.

Situasi sama turut dialami oleh Ahmad Hazlan Abdullah, 50, yang sudah berpindah dua kali ke PPS SK Tok Jembal pada tahun ini selepas rumahnya dimasuki air hingga paras pinggang.

Ahmad Hazlan yang mempunyai masalah jantung berkata dia terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk berpindah kerana risau dengan keselamatan diri.

"Setiap tahun memang kena pindah sebab banjir tetapi banjir gelombang ketiga ini air laju dan naik dengan cepat. Mulanya nak pergi sendiri ke PPS tetapi bila tengok air dah penuh di kiri kanan jalan dan dalam rumah air dah paras lutut, tidak ada pilihan terpaksa dapatkan bantuan pasukan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 468 mangsa dipindahkan ke empat PPS di tiga daerah di negeri ini susulan banjir gelombang ketiga setakat 12 tengah hari tadi.  

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506559