KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Isu agama dan sistem pemerintahan tidak wajar dieksploitasi hingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat, terutamanya perkara berkaitan dengan pentadbiran negeri serta institusi diraja, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Beliau berkata sebarang dakwaan termasuk tekanan terhadap Menteri Besar daripada mana-mana pihak perlu disokong dengan bukti kukuh, kerana sikap menunding jari tanpa fakta hanya akan mencetuskan ketakutan seterusnya membuka ruang kepada penyalahgunaan sentimen agama.
“Misalnya (dakwaan) Menteri Besar meletak jawatan kerana tekanan untuk meluluskan hal-hal tanpa mengikut peraturan, siapa yang boleh menekan Menteri Besar? Ini akan memberikan persepsi yang agak negatif.
“Hal ini menakutkan dan kita tidak mahu banyak perkara digunakan atas nama agama,” katanya dalam siaran podcast di akaun YouTube beliau baru-baru ini, bertajuk “Prof Dato Dr MAZA - Krisis Politik: Antara Agama dan Kuasa”.
Pada 25 Dis, Mohd Shukri Ramli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan, dan telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, pada hari sama.
Sebelum itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus'sele Eizan, mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji, selepas keahlian tiga ADUN kawasan itu dari PAS terhenti serta-merta.
Media sebelum ini melaporkan ADUN Perikatan Nasional di negeri itu didakwa telah mengadap Raja Perlis bagi menyatakan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Berikutan itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan media pada 24 Dis memaklumkan keahlian ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
-- BERNAMA