JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan 13 Individu Kerana Merusuh Guna Senjata Di Restoran

28/12/2025 05:48 PM

JOHOR BAHRU, 28 Dis (Bernama) -- Polis menahan 12 lelaki warga tempatan dan seorang wanita Vietnam dipercayai terlibat dalam rusuhan menggunakan senjata di sebuah restoran di Taman Mount Austin, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kejadian kira-kira 3 pagi berlaku apabila dua mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun diserang sekumpulan lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Beliau berkata semua suspek ditahan dari 3 pagi hari sama sehingga 12.40 tengah malam tadi di beberapa lokasi di sekitar daerah ini.

“Mangsa diserang dengan menggunakan kerusi besi dan pisau pemotong daging menyebabkan seorang mengalami kecederaan pada kepala, lengan, betis dan calar di seluruh badan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan hutang peribadi.

Raub berkata polis merampas tujuh telefon bimbit, sebilah pisau dan pakaian digunakan semasa kejadian selain giat mengesan suspek lain yang turut terlibat dalam kejadian itu.

Beliau berkata tujuh suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala enam positif dadah jenis ketamin.

Kesemua suspek lelaki direman selama tujuh hari manakala wanita tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506791