EKONOMI

Perjanjian Dagangan Lebih Meluas, Pembaharuan Fiskal Kunci Kestabilan Ringgit - Ahli Ekonomi

29/12/2025 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Malaysia perlu kekal terbuka kepada pelbagai perjanjian perdagangan lebih meluas yang melangkaui pasaran tradisionalnya, terutama dengan Amerika Syarikat (AS) dan China yang menjadi kunci kestabilan serta memacu pengukuhan ringgit.

Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education (CME) dan anggota Fakulti Universitas Prasetiya Mulya, Dr Carmelo Ferlito berkata kerajaan juga perlu meneruskan usaha menjalin perjanjian perdagangan bebas (FTA) berikutan impaknya yang dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

“Ini merupakan faktor penting yang memerlukan Malaysia menjadi lebih agresif dan memahami bahawa perdagangan bebas ini memberi manfaat serta penting untuk rakyat,” katanya dalam program Bernama World disiarkan oleh Bernama TV, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Ferlito berkata walaupun kerajaan berada di landasan tepat pada masa ini, beliau sebaliknya yakin masih banyak yang boleh dilakukan, terutama dalam merasionalisasikan perbelanjaan awam.

Pada masa sama, meskipun beberapa langkah telah diambil dari segi hasil, aspek disiplin fiskal dapat menjadi pemangkin untuk kerajaan membangunkan kredibiliti di masa depan.

Selain itu, rombakan kerajaan yang dilaksanakan baru-baru ini, turut memainkan peranan dalam membina keyakinan dengan beberapa kedudukan penting digalas individu yang dilihaat sebagai positif dari kaca mata komuniti pelabur, katanya.

Ferlito berkata aspek lain yang tidak kurang pentingnya adalah keperluan pembaharuan struktur untuk mengurangkan intervensi kerajaan dalam ekonomi, termasuk penjajaran semula peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Usaha lain melibatkan isu struktur seperti pemecahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pembaharuan yang menggalakkan penyatuan.

Ini, katanya, dapat membantu mewujudkan pemain sektor swasta yang lebih kukuh, sekali gus membolehkan sektor itu memainkan peranan lebih besar dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

“Oleh itu, penjajaran semula perlu dilakukan dan mewujudkan ruang lebih besar untuk sektor swasta,” katanya

Menyentuh prestasi ringgit, Ferlito berkata prestasi mata wang Malaysia itu pada 2024 dan 2025 itu jelas dipengaruhi oleh turun naik dagangan yang sebahagian besarnya didorong oleh faktor luaran dan tekanan spekulatif.

Atas alasan itu, beliau berkata kalangan pelabur dan pemerhati pasaran lebih menitikberatkan kestabilan ringgit berbanding nilainya kerana ringgit yang stabil memberi kejelasan lebih ketara terhadap aspek perancangan pelaburan serta membuat keputusan ekonomi.

Pada 26 Disember lepas, ringgit melonjak ke paras tertingginya pada 4.0410/0495 berbanding dolar AS dalam tempoh hampir lima tahun.

Kali terakhir ringgit mencatat paras 4.0450/0443 adalah pada 26 Februari 2021.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507017