AM

PKNS Salur RM2 Juta Selesaikan Isu Gangguan Elektrik Pangsapuri Seri Perantau - Exco

29/12/2025 05:42 PM

SHAH ALAM, 29 Dis (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyalurkan peruntukan kewangan sehingga RM2 juta bagi menampung kos kerja pembaikan dan pemulihan susulan gangguan bekalan elektrik di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang yang berlaku sejak 7 Dis lepas.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata sebagai langkah awal, pelaksanaan kerja pembaikan itu akan diselaraskan oleh kerajaan negeri termasuk melalui pelantikan kontraktor berkaitan.

Menurutnya, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antara PKNS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut digerakkan, termasuk penyaluran sumbangan menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Skim CERIA).

“Di samping itu, kerajaan negeri juga mempercepatkan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) bagi memastikan pengurusan bangunan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan mampan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Borhan berkata kerajaan negeri memandang serius gangguan bekalan elektrik yang berlarutan di Pangsapuri Seri Perantau sehingga menjejaskan kira-kira 600 penduduk setempat.

”Oleh itu, tindakan yang menyeluruh dan berperingkat perlu dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan. 

“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan tersebut secara dekat serta mendapatkan kerjasama semua pihak berkaitan termasuk Perbendaharaan Negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang dapat dilaksanakan,” katanya. 

Media sebelum ini kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat pada 29 Dis bagi menentukan tindakan pembaikan sistem pendawaian elektrik melibatkan 128 unit kediaman di Blok C, Flat Seri Perantau susulan masalah ketiadaan bekalan elektrik yang berlarutan sejak 7 Dis lepas.

Borhan berkata masalah itu menjejaskan kehidupan seharian penduduk termasuk pergerakan dalam bangunan yang bergantung kepada lif dan gangguan bekalan air ekoran pam tidak boleh berfungsi, sekali gus menimbulkan kesulitan besar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507031