KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Malaysia mencatatkan pelaburan digital yang diluluskan di bawah inisiatif Malaysia Digital (MD) berjumlah RM54.13 bilion pada suku ketiga 2025, menjana 21,815 pekerjaan bernilai tinggi merentasi 402 syarikat digital, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
MDEC dalam satu kenyataan berkata empat sumber utama pelaburan digital yang diluluskan adalah daripada pelabur yang berpangkalan di Singapura, menyumbang RM25.1 bilion, diikuti pelabur Malaysia (RM17.2 bilion), Amerika Syarikat (AS) (RM6.4 bilion), dan China (RM3.0 bilion).
“Pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) sahaja menyumbang 8,328 daripada pekerjaan yang dicipta, mewakili 38 peratus daripada jumlah unjuran pekerjaan yang mana mencerminkan peningkatan permintaan terhadap profesional digital, saintis data, jurutera AI dan bakat perkhidmatan khusus.
“Lembah Klang terus menjadi tumpuan pelaburan digital, dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menarik 88 peratus daripada jumlah pelaburan, berjumlah RM47.8 bilion dan hampir 90 peratus daripada 19,417 pekerjaan digital yang dicipta, disokong oleh infrastruktur matang, penumpuan bakat yang kukuh dan kesediaan ekosistem yang tinggi,” katanya.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata momentum pelaburan yang kukuh itu mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menerajui era AI, membolehkan negara meningkatkan rantaian nilai daripada menjadi pengguna teknologi kepada pencipta penyelesaian AI yang berdaya saing di peringkat global.
“Menjadi sebuah negara AI menjelang 2030 memerlukan lebih daripada sekadar inovasi. Ia memerlukan asas digital padu, infrastruktur cemerlang, bakat mahir dan perkongsian global yang kukuh.
“Aliran pelaburan digital berkualiti tinggi yang berterusan ke Malaysia menunjukkan keyakinan antarabangsa terhadap dasar, bakat dan visi jangka panjang kita bagi pertumbuhan dipacu AI yang bertanggungjawab dan inklusif,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil yang berkongsi sentimen yang sama berkata Malaysia merupakan destinasi utama bagi pelaburan AI asing dan domestik susulan kedudukan strategiknya sebagai hab digital dalam ASEAN serta memiliki tenaga kerja bakat tempatan berkemahiran tinggi.
“Komitmen MDEC untuk membangunkan bakat yang bersedia bagi masa hadapan dengan kerjasama industri teknologi telah mewujudkan ekosistem yang menyokong, membolehkan inovasi, pengembangan dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Anuar berkata inisiatif MDEC terus menarik peneraju global merentasi rangkaian teknologi AI bernilai tinggi, membentuk ekosistem tempatan yang mana AI dibangunkan secara bertanggungjawab, diguna pakai secara meluas dan membolehkan syarikat tempatan berkembang ke peringkat global.
“Usaha ini meletakkan syarikat yang berpangkalan di Malaysia terlibat sepenuhnya dalam transformasi AI negara, termasuk syarikat yang beroperasi dalam ekosistem Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,” katanya.
Beliau berkata dengan menyediakan insentif bersasar, fasilitasi pelabur proaktif dan penyelarasan dasar, MDEC dapat memastikan pelaburan yang lancar sambil memperkukuh peluang pelaburan digital rentas sempadan.
-- BERNAMA