AM

Dasar, Penguatkuasaan Baharu Cerminkan Usaha Pertingkat Kesejahteraan Rakyat - Penganalisis

30/12/2025 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Bermula 1 Jan 2026, rakyat Malaysia bakal berdepan pelbagai perubahan dasar dan langkah penguatkuasaan baharu yang memberi kesan langsung kepada rutin harian serta tanggungjawab sosial mereka, sekali gus menuntut penyesuaian awal daripada rakyat dan agensi pelaksana bagi memastikan kelancarannya.

Antaranya ialah penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian, pengenaan denda serta hukuman kerja pembersihan awam bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam, pelarasan gaji fasa dua penjawat awam serta penurunan had umur belia kepada 30 tahun.

Selain itu, kadar dan kaedah kompaun saman trafik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diselaraskan, di samping pelaksanaan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang dijangka merangsang pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negara.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata langkah berkenaan mencerminkan usaha kerajaan untuk memperkukuh disiplin sosial, keselamatan awam serta kebajikan penjawat awam.

Beliau berkata meskipun dasar itu berpotensi merangsang ekonomi melalui pelaksanaan TMM2026, keberkesanannya bergantung kepada pendekatan pelaksanaan yang jelas dan berperingkat agar tidak menimbulkan salah faham atau beban kepada rakyat.

“Secara keseluruhan, perubahan dasar yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026 ini mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh disiplin sosial, keselamatan awam dan kebajikan penjawat awam, di samping merangsang ekonomi negara.

“Namun, keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana dasar-dasar ini dilaksanakan secara berperingkat, telus dan berorientasikan rakyat supaya tidak dilihat sebagai bersifat menghukum semata-mata atau membebankan golongan tertentu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas tahap kesiapsiagaan pentadbiran negara, Sivamurugan menegaskan bahawa keupayaan mengurus pelbagai perubahan dasar memerlukan koordinasi berkesan antara agensi, komunikasi dasar yang jelas serta tempoh penyesuaian yang munasabah.

“Pelaksanaan yang terlalu tegas tanpa penerangan dan sokongan mencukupi berisiko menimbulkan tekanan kepada rakyat. Justeru, pendekatan seimbang antara penguatkuasaan, pendidikan dan empati pentadbiran amat penting dalam fasa awal pelaksanaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata pelaksanaan beberapa perubahan dasar dan langkah penguatkuasaan mulai tahun hadapan mencerminkan peralihan fokus kerajaan untuk menyentuh secara langsung kehidupan seharian rakyat selepas fasa pemulihan ekonomi.

Beliau berkata memasuki tahun keempat pentadbiran Kerajaan MADANI, negara dilihat mencapai tahap kestabilan ekonomi yang membolehkan tumpuan diberikan kepada aspek disiplin sosial, keselamatan awam dan kesejahteraan rakyat.

Mazlan berkata penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian, pengetatan undang-undang trafik serta pelaksanaan hukuman kerja khidmat masyarakat bertujuan membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin, selari dengan peningkatan taraf hidup dan perubahan global.

“Hal ini merupakan fasa pengukuhan penting bagi memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan jaminan keselamatan, kehidupan yang sihat serta persekitaran sosial yang lebih teratur,” katanya.

Mengulas mengenai impak sosial, beliau berkata pendekatan penguatkuasaan yang lebih tegas dijangka mampu mengubah persepsi dan tingkah laku masyarakat, termasuk meningkatkan keselamatan jalan raya serta melindungi golongan rentan seperti kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.

Beliau turut menegaskan pengalaman negara maju menunjukkan penguatkuasaan yang konsisten mampu mendidik masyarakat agar lebih patuh kepada peraturan serta lebih peka terhadap keselamatan diri dan orang lain.

Pelaksanaan pelbagai perubahan dasar dan langkah penguatkuasaan ini dijadualkan bermula 1 Jan ini melibatkan aspek sosial, ekonomi dan penguatkuasaan, sekali gus menjadikan tempoh awal tahun hadapan sebagai fasa penyesuaian penting bagi rakyat serta agensi pelaksana.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507160