JENAYAH & MAHKAMAH

Skandal Penyelewengan 1MDB, Rasuah Dan Buli Tumpuan Utama Kes Mahkamah 2025

30/12/2025 11:57 AM

Oleh Nur Aimidiyana Zuher dan Nur Nadzmi Nasirah Mohamad Nasir

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Sepanjang 2025, deretan kes mahkamah berprofil tinggi melibatkan tokoh politik terus mendapat perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa selain jenayah buli serta bunuh melibatkan remaja bawah umur mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat.

Skandal penyelewengan berbilion ringgit melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih menjadi tumpuan utama liputan media.

Kes 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang dihadapkan ke mahkamah berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa tidak pernah lekang daripada perhatian media dan lensa kamera yang mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan luar negara.

Selepas tujuh tahun prosiding di Mahkamah Tinggi, akhirnya pada 26 Dis Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes itu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.4 bilion terhadap Najib, 72, selepas beliau didapati bersalah atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB.

Mahkamah turut memerintahkan Najib dipenjara 40 tahun jika gagal membayar denda tersebut.

Prosiding Jumaat lepas bermula 9.23 pagi dan keputusan hukuman disampaikan sekitar 9 malam, iaitu hampir 12 jam dengan mahkamah antara lain memutuskan pembelaan Najib bahawa dana itu merupakan derma Kerajaan Arab Saudi tidak boleh dipercayai, rekaan tidak berasas dan tidak disokong bukti kukuh dan sebuah kisah yang melebihi cerita-cerita dari Arabian Nights.

Harapan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah juga tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Dis menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan titah adendum selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.

Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang kemudiannya dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman berkenaan.

Pada 20 Jun, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Najib daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta, selepas membenarkan permohonan peguam. Perintah pelepasan tanpa pembebasan bermaksud tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan namun boleh didakwa semula sekiranya pendakwaan memilih untuk mengemukakan pertuduhan pada masa hadapan.

Satu lagi kes yang mendapat perhatian umum ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila Mahkamah Rayuan pada 25 Jun melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 11 Dis telah mendengar rayuan pendakwaan berhubung pembebasan ahli politik itu.

Tidak ketinggalan kes membabitkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad apabila Mahkamah Sesyen pada 20 Ogos, melepas dan membebaskannya daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa selepas beliau membayar kompaun RM4.1 juta.

Sementara itu, wang tunai lebih RM169 juta milik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi menjadi harta kerajaan apabila Mahkamah Sesyen pada 1 Okt memerintahkan wang berkenaan dilucut hak selepas bekas Perdana Menteri itu dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak mencabar permohonan SPRM selain tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta berkenaan.

Kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin mencuri perhatian apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Dis menolak permohonan ibu kanak-kanak autistik itu, Ismanira Abdul Manaf untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadapnya selepas mendapati tiada keadaan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dalam kes berkenaan.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Ismanira didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak lelaki terbabit sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya. Bagaimanapun, suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Kes membabitkan kematian pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah, Zara Qairina Mahathir menjadi tajuk utama akhbar apabila AGC pada 13 Ogos memutuskan untuk menjalankan prosiding inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar berkenaan. Setakat ini sebanyak 57 saksi telah memberi keterangan dalam prosiding inkues yang bermula 3 Sept. 

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada pagi 16 Julai.

Pada 20 Ogos lepas, lima remaja perempuan turut didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina dan pada 8 Dis, dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha telah memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan yang dijalankan secara tertutup.

Tidak terkecuali kes membabitkan 13 lelaki termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah menjadi anggota pertubuhan menyalahi undang-undang itu.

Isteri Nasiruddin, Azura Md Yusof, 58, bersama lapan wanita lain pula didenda RM4,500 setiap seorang selepas turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Selain itu, turut menjadi tumpuan ialah kes membabitkan seorang remaja lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun di dalam tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya dan mahkamah menetapkan 16 Jan depan untuk mengetahui keputusan laporan pemeriksaan mental remaja berkenaan.

Pada 26 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsudin digali semula selepas membenarkan permohonan ibu pelajar itu, Ummu Haiman Bee Daulatgun agar pusara anak lelakinya itu digali semula bagi bedah siasat kedua.

AGC pada 2 Dis mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, kes sivil turut menjadi tajuk utama antaranya pada 18 April, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memperoleh ganti rugi RM2.5 juta selepas menang dalam kes saman terhadap Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq berhubung vaksin COVID-19.

Pada 30 Mei, Mahkamah Tinggi memerintahkan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff membayar ganti rugi RM400,000 kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang memenangi saman fitnah itu pada 28 Ogos lepas.

Mahkamah Tinggi pada 29 Julai pula memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model warga Belanda Ivana Esther Robert Smit, yang mayatnya ditemukan di balkoni tingkat enam sebuah kondominium dalam satu kes saman, namun Mahkamah Rayuan pada 18 Nov membenarkan permohonan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi berkenaan sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan.

Pada 5 Nov, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM3,264,457.52 kepada isteri aktivis Amri Che Mat, Norhayati Mohd Ariffin dan kerajaan turut diperintah membayar lebih RM37 juta kepada isteri paderi Raymond Koh, Susanna Liew selepas membenarkan saman difailkan kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami mereka.

Namun, AGC telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah itu pada 6 Nov.

Kes membabitkan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain turut hangat diperkatakan apabila enam bekas penuntut universiti itu terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan pada 28 Feb mengetepikan hukuman berkenaan dan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.

Pada 14 Ogos pula, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai serta menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella selepas menolak rayuan akhir wanita berkenaan.

Kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong turut menjadi tumpuan apabila Mahkamah Persekutuan pada 1 Okt mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lapan tahun serta dua sebatan terhadapnya atas kesalahan merogol pembantu rumah warga Indonesia. 

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai mengekalkan hukuman mati ke atas bekas pakar patologi Kol Dr R. Kunaseegaran yang disabitkan atas kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais pada 2015 manakala S. Nimalan dan S. Ravi Chandran terlepas daripada hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap mereka selepas diringankan kepada penjara seumur hidup.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan melepas dan membebaskan tiga lelaki, iaitu R.Dinishwaran, A.K.Thinesh Kumar dan M. Vishwanath selepas mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk mengekalkan sabitan membunuh terhadap mereka.

Menjelang akhir tahun, negara dikejutkan apabila bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan Shah Alam atas lima pertuduhan berkaitan rasuah manakala ahli perniagaan Albert Tei juga didakwa di mahkamah sama kerana memberi suapan kepada Shamsul Iskandar bagi membantu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Perbicaraan kes rasuah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang sepatutnya berlangsung pada 27 Nov dan 3 Dis lepas ditangguhkan kepada 12 hingga 14 Jan 2026.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini meninggal dunia pada 5 Dis lepas.

Di persada antarabangsa, 2025 juga menyaksikan Malaysia terus melakar kemenangan apabila Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Dis membatalkan sepenuhnya Award Akhir sebanyak USD14.9 bilion  dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022 yang sebelum ini memihak penuntut yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Mahkamah itu turut mengarahkan penuntut membayar kos berjumlah €200,000 (RM959,180) kepada Kerajaan Malaysia.

Pada 8 Okt, Mahkamah Agung Sepanyol mengekalkan hukuman penjara enam bulan serta perintah larangan terhadap Stampa daripada bertindak sebagai penimbang tara selama setahun seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Jenayah Madrid pada 22 Dis 2023 kerana menghina mahkamah dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu terhadap Malaysia selepas menolak rayuan Stampa terhadap sabitan dan hukuman.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507175