AM

Malaysian Tonjolkan Kepelbagaian Rakyat Dalam Kempen TMM2026

30/12/2025 01:52 PM

SIBU, 30 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menonjolkan kepelbagaian kaum dan budaya serta semangat perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia, dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bagi menarik kedatangan 40 juta pelancong asing ke negara ini.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata elemen berkenaan perlu dibuktikan kepada dunia, bagi meyakinkan pelancong asing bahawa Malaysia merupakan destinasi pelancongan terbaik dan selamat dikunjungi.

Beliau berkata kepelbagaian budaya serta keharmonian masyarakat berbilang kaum, merupakan kekuatan utama negara dan akan menjadi teras yang diketengahkan dalam kempen TMM2026 pada peringkat antarabangsa.

“Kami mempunyai peluang besar untuk menarik pelancong dari seluruh dunia termasuk negara-negara Asia. Malaysia perlu mempamerkan budaya semua kaum dan seluruh rakyat perlu bersedia menerima kehadiran pelancong asing dalam jumlah yang besar,” katanya kepada media sempena program Sibujaya Countdown 2026 di Sibujaya, malam tadi.

Acara kemuncak sambutan bertemakan Menuju 2026, Terokai Sibu, Rasai Malaysia itu dijadual berlangsung di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibujaya pada Rabu ini.

Tiong berkata rakyat Malaysia telah lama hidup dalam suasana perpaduan, harmoni dan saling menghormati walaupun berbeza latar belakang kaum dan budaya.

“Jangan kita jadikan perbezaan budaya sebagai isu politik, sehingga mencetuskan sentimen perkauman dan keagamaan. Sebaliknya, kita perlu membuktikan kepada dunia bahawa negara ini sentiasa mengutamakan serta mengekalkan perpaduan dan keharmonian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia pada tahun lepas merekodkan seramai 38 juta orang, manakala bagi tahun ini sehingga November, jumlah tersebut telah menghampiri 40 juta pelawat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507198