DUNIA

Ketua Kartel Dadah Ecuador, El Gerente Ditahan Di UAE

30/12/2025 06:10 PM

BUENOS AIRES, 30 Dis (Bernama-dpa) -- Ketua kartel dadah Ecuador, Roberto Carlos Alvarez Vera, yang dikenali sebagai El Gerente, ditahan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berdasarkan waran tangkap antarabangsa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Kementerian Luar Ecuador pada Isnin.

Alvarez Vera, yang mengetuai kumpulan jenayah Comandos de la Frontera, akan diekstradisi ke Ecuador dan dibicarakan, kata Presiden Daniel Noboa dalam satu kenyataan di platform X.

Alvarez Vera dipercayai menjadi dalang di sebalik pembunuhan 11 anggota tentera yang diserang menggunakan bom tangan dan senjata api oleh individu disyaki ahli Comandos de la Frontera semasa operasi menentang perlombongan haram di wilayah Amazon pada Mei lalu.

Berasal dari negara jiran Colombia, kumpulan Comandos de la Frontera telah meluaskan pengaruhnya ke Ecuador, iaitu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, pemerasan serta perlombongan haram.

Sebelum ini dianggap sebagai negara yang agak selamat, Ecuador menyaksikan peningkatan mendadak kadar keganasan dan jenayah, apabila beberapa kumpulan bersaing menguasai perdagangan dadah yang menguntungkan.

Menurut Pemerhati Jenayah Terancang, jumlah pembunuhan meningkat sebanyak 47 peratus pada separuh pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu, mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah terkini negara Amerika Selatan itu.

-- BERNAMA-dpa

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507361