KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Kemelut yang membadai Perikatan Nasional (PN) hari ini menyaksikan beberapa pucuk pimpinan Bersatu 'sepakat tekan butang' melepaskan jawatan masing-masing dalam gabungan itu.
Bermula dengan pengumuman mengejut Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026, empat lagi pimpinan utama Bersatu menyusul selepas itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong Sahruddin Jamal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor, diikuti oleh Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor.
Selepas itu, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak, manakala Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker mengundur diri sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan.
Selain itu, ADUN Taman Medan Dr Afif Bahardin bertindak mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha PN Selangor berkuat kuasa tarikh sama, mengikut jejak langkah ketuanya Mohamed Azmin.
Seolah-olah menunjukkan 'protes' terhadap kerjasama gabungan itu bersama PAS yang sudah sampai ke tahap sukar disorok, ibarat retak menanti belah, pergolakan dalaman yang berlarutan dipercayai menjadi punca, antaranya ketegangan politik di beberapa negeri termasuk kemelut di Perlis, baru-baru ini.
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengesahkan parti itu akan mengemukakan beberapa nama untuk dipertimbangkan sebagai Pengerusi PN yang baharu, yang dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN dalam masa terdekat.
Jika semua pimpinan Bersatu melepaskan jawatan dalam PN, timbul persoalan sama ada ia secara tidak langsung akan menamatkan hayat gabungan berkenaan?
Penganalisis politik dan Konsultan Kanan Asia Global Consulting Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata situasi yang melanda Bersatu, PAS dan PN ketika ini bukan sekadar konflik biasa, sebaliknya mencerminkan perebutan pengaruh dan krisis kepercayaan yang berupaya mengubah landskap politik negara.
“Ini menunjukkan seolah-olah berlakunya perpecahan yang sedia ada, kalau dalam bahasa Inggeris kita kata ‘elephant in the room’,” katanya ketika menjadi tetamu program Reaksi: Krisis PN terbitan Bernama Radio hari ini.
Ahmad Zaharuddin berkata perebutan pengaruh dan perbezaan pandangan antara Bersatu dan PAS kini meletakkan kedua-dua parti itu di persimpangan sama ada untuk meneruskan kerjasama atau membawa haluan masing-masing.
Beliau berkata persoalan sama ada Bersatu dan PAS masih mampu mencari titik kompromi menjadi penentu utama kepada kelangsungan PN sebagai satu gabungan politik, atau sebaliknya membuka laluan kepada penjajaran baharu pembangkang.
“Jika mereka sudah tidak lagi dapat mencari titik pertemuan, titik sepakat, mungkin Bersatu dengan PAS harus mencari hala tuju masing-masing dan ini yang akan menjadi sesuatu yang baharu untuk negara kita, orang kata penjajaran baharu politik.
“Adakah kita akan nampak penyatuan parti-parti politik yang lain sebagai pembangkang ataupun mungkin kita akan nampak penambahan parti dalam kerajaan yang sedia ada ketika ini,” katanya.
-- BERNAMA