SEPANG, 1 Jan (Bernama) -- Malaysia Airports memperkukuh rangkaiannya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bagi memastikan ketibaan yang lancar, boleh dipercayai dan mesra, disokong oleh operasi cekap serta kemudahan yang dinaik taraf di lapangan terbang antarabangsa mahupun domestik.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani berkata keutamaan syarikat itu menjelang TMM2026 adalah untuk menguruskan peningkatan jumlah trafik sambil mengekalkan prestasi yang konsisten dan boleh dipercayai di semua lapangan terbang.
“Sebagai pengendali pintu masuk negara, semua lapangan terbang kami beroperasi di bawah rangka kerja penyelarasan di peringkat nasional bagi memastikan piawaian perkhidmatan yang seragam di setiap pintu masuk... tumpuan kami adalah terhadap penggunaan aset yang cekap, proses operasi yang stabil dan kerjasama erat dengan rakan syarikat penerbangan.
“Ini membolehkan kami menyokong pertumbuhan kesalinghubungan, mengurus aliran penumpang pada waktu puncak serta menyediakan operasi lapangan terbang yang boleh dipercayai dan selaras dengan jangkaan antarabangsa sama ada di lapangan terbang antarabangsa atau domestik,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Menterjemahkan pendekatan ini ke dalam tindakan, lapangan terbang di seluruh negara telah melalui penaiktarafan yang disasarkan pada 2025, dengan pemodenan menyeluruh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi teras utama program tersebut.
Di Terminal 1 dan Terminal 2, lebih daripada 30 inisiatif penambahbaikan telah dilaksanakan bagi menyokong perjalanan penumpang yang lebih lancar dan inklusif termasuk menaik taraf sistem pemprosesan penumpang, peluasan kemudahan layan diri, pembaharuan kemudahan awam serta penambahbaikan tawaran komersial.
Mohd Izani berkata inisiatif utama termasuk penaiktarafan kaunter daftar masuk dan kios serahan bagasi terbuka, pengenalan sistem pengurusan akses kenderaan bagi memperbaiki aliran trafik di kawasan pelepasan serta penyediaan 12,500 troli penumpang baharu, 100 kerusi roda percuma dan 210 kereta sorong bayi.
Beliau berkata penambahbaikan lain terdiri daripada tandas mesra keluarga, ruang menunggu berkonsep terbuka yang dibaik pulih, kemudahan surau yang dinaik taraf dan pelancaran Calm Room bagi penumpang Terminal 2 dengan ketidakupayaan tersembunyi.
Menyedari bahawa pengalaman TMM2026 bermula di setiap pintu masuk, Malaysia Airports turut mempercepat kerja-kerja menaik taraf di lapangan terbang lain termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan beberapa pintu masuk domestik terpilih.
“Penambahbaikan ini merangkumi pelancaran Sistem Serahan Bagasi Layan Diri, sistem parkir tanpa tunai, penaiktarafan eskalator serta pembaharuan kemudahan surau dan tandas sekali gus memastikan keseragaman kualiti perkhidmatan di seluruh rangkaian,” katanya.
Seiring pelaksanaan TMM2026, Malaysia Airports terus menjalin kerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Seni dan Budaya serta pihak berkepentingan industri bagi menyelaraskan operasi lapangan terbang dengan matlamat pelancongan negara sekali gus memastikan setiap ketibaan memberikan pengenalan yang lancar dan efisien kepada negara selaras dengan piawaian global dan mencerminkan keramahan unik Malaysia.
Beliau berkata selari dengan penambahbaikan yang berfokuskan penumpang, Malaysia Airports juga telah memperkukuh strategi penglibatan syarikat penerbangan bagi menyokong pertumbuhan kesalinghubungan udara melalui insentif untuk laluan baharu dan yang diperluas.
“Kesemua usaha ini turut disokong oleh Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC) Tourism Malaysia di bawah Belanjawan 2026, yang membolehkan syarikat penerbangan melaksanakan aktiviti pemasaran dan promosi di luar negara bagi merancakkan pelancongan masuk melalui penerbangan berjadual dan penerbangan sewa khas,” katanya.
-- BERNAMA