AM

Sunway Lagoon Meriahkan Sambutan Tahun Baharu 2026 Dengan Aktiviti Menarik, Bunga Api

01/01/2026 02:51 PM

PETALING JAYA, 1 Jan (Bernama) -- Sambutan Tahun Baharu 2026 Sunway Lagoon meriah apabila ribuan pengunjung membanjiri taman tema itu seawal 6 petang semalam untuk meraikan detik peralihan tahun bersama rakan dan keluarga tersayang.

Menariknya, bagi sambutan kali ini, pihak pengurusan Sunway Lagoon membuka keseluruhan kawasan taman temanya hingga 12 tengah malam bagi menarik lebih ramai pengunjung serta menghidupkan lagi suasana sambutan berkenaan.

Seorang pengunjung dari Surabaya, Indonesia, Rini Absuri, 40, berkata dia datang ke Malaysia bersama-sama suami serta dua anakya untuk bercuti dan memilih taman tema itu memandangkan ia destinasi popular dalam kalangan pelancong.

"Waktu saya mencari tempat yang sesuai untuk liburan keluarga di Malaysia, banyak ulasan menerusi Internet menyatakan Sunway Lagoon sesuai buat anak-anak kerana ada banyak aktiviti yang mereka boleh nikmati," katanya kepada Bernama di sini.

Rini turut menyatakan rasa gembira kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga di penghujung  2025 dalam suasana yang meriah, selain teruja untuk meneroka destinasi lain yang menarik di Malaysia.

Seorang pengujung tempatan, Salina Safii, 38, berkata menyambut tahun baharu di situ merupakan keputusan yang tepat kerana dia bukan sahaja dapat menyaksikan pertunjukan muzik dan bunga api yang menarik, malah berpeluang menikmati pelbagai permainan yang menyeronokkan di taman tema itu.

"Ini kali pertama saya dan anak sambut tahun baharu di Sunway Lagoon. Awalnya saya cuma teruja mahu tengok acara bunga api tetapi bila dah sampai, saya rasa macam nak cuba semua benda pula," katanya.

Sementara menunggu acara kemuncak iaitu pertunjukan bunga api pada 12 malam, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk acara temu mesra dan bergambar bersama watak-watak Sunway Lagoon seperti Captain Quack, Lady Quack, GOGO dan BEBE.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti memberi makan kepada haiwan seperti memerang, beruang matahari dan harimau di taman hidupan liar di Sunway Lagoon.

Pendidik hidupan liar Timothy James Mah berkata taman tema terbabit merupakan antara yang terawal memperkenalkan aktiviti memberi makan kepada harimau.

Beliau berkata aktiviti berkenaan bukan sahaja membolehkan pengunjung berinteraksi dengan haiwan secara dekat, tetapi juga memberi peluang untuk memahami habitat semula jadi mereka dengan lebih mendalam.

“Ketika memberi makan haiwan, kami juga berkongsikan maklumat dan meningkatkan kesedaran antaranya semua enam spesies harimau termasuk harimau Bengal sedang berdepan ancaman kepupusan.

“Walaupun jumlahnya merangkumi 90 peratus daripada populasi harimau dunia, spesies ini masih berdepan risiko akibat pemburuan dan aktiviti pemburuan haram,” katanya.

Selain itu, taman hidupan liar berkenaan merancang untuk memperkenalkan lebih banyak habitat baharu pada masa akan datang bagi menyediakan pengalaman yang lebih menarik dan bersifat mendidik kepada pengunjung.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507905