KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Pemangkin domestik terutama Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dan persekitaran ringgit yang semakin kukuh dijangka memacu prestasi pasaran pada suku pertama 2026.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata keadaan ini berlaku selepas ketidaktentuan pada 2025 yang memperlihatkan reaksi pasaran yang tegang dan rasionalisasi subsidi serta hala tuju dasar yang lebih jelas selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenakan tarif timbal balas sebanyak 19 peratus ke atas produk Malaysia.
"Persekitaran ringgit yang cenderung kepada pengukuhan dijangka membentuk hala tuju pasaran. Kami menjangka ringgit diniagakan dalam lingkungan RM3.90 hingga RM4.10 berbanding dolar AS dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Keadaan ini memandangkan jangkaan penurunan kadar AS selanjutnya, yang mungkin melemahkan dolar AS dan memberikan sedikit kelegaan kepada sektor domestik Malaysia seperti pengguna, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan perbankan," katanya.
Firma pembrokeran saham itu berkata menerusi TMM 2026, sektor pelancongan Malaysia diunjurkan menjadi antara pemacu ekonomi utama pada 2026, dengan kerajaan menyasarkan 47 juta ketibaan antarabangsa dan RM329 bilion dalam terimaan pelancongan.
“Langkah ini sewajarnya menggalakkan dan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi global yang unggul, mampan dan bernilai tinggi di rantau Asia Tenggara.
"Kami yakin ini dapat meningkatkan sentimen merentasi sektor penerbangan, hospitaliti, REIT, penjagaan kesihatan dan pengguna," katanya.
Bagi sektor penjagaan kesihatan, Malacca Securities berkata ia mengekalkan prospek positif memandangkan populasi warga emas Malaysia terus matang, memacu permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan, penyelesaian persaraan dan tawaran mesra warga emas.
"Penyedia penjagaan kesihatan, firma farmaseutikal dan perniagaan berkaitan kesejahteraan menyediakan peluang jangka panjang, terutama dalam persekitaran populasi yang semakin tua," katanya.
Menurut firma itu perkongsian strategik antara ARM Holdings dan Malaysia di samping kerjasama YTL-Nvidia telah memperkukuh kedudukan negara dengan ketara dalam pembuatan semikonduktor bernilai tinggi dan kecerdasan buatan.
“Momentum ini dijangka memacu sentimen positif merentasi sektor teknologi terutama memberikan manfaat kepada pemain perkhidmatan pembuatan elektronik di Johor.
"Selain itu, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bersedia untuk menjadi pemangkin utama bagi pengembangan ekonomi jangka panjang sepanjang dekad akan datang," katanya.
-- BERNAMA