JENAYAH & MAHKAMAH

Dera Kanak-kanak: Pasangan Suami Isteri Direman Seminggu Bantu Siasatan

08/01/2026 02:26 PM

NILAI, 8 Jan (Bernama) -- Sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak berusia 10 tahun yang berlaku di daerah ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 22 tahun dan wanita, 30, itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Azuin Mohd Talha di Mahkamah Seremban di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

"Kedua-dua mereka berasal dari Sabah dan siasatan lanjut mengenai kes ini masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Johari dilaporkan berkata kes penderaan itu terbongkar pada Selasa lepas apabila seorang penghantar makanan menjumpai kanak-kanak tersebut dalam keadaan terbiar, ketakutan dan menggigil di luar sebuah premis kedai serbaneka di Star Valley Nilai pada 5.30 petang, sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Susulan itu, ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak terbabit ditahan di IPD Nilai bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2510225