SUKAN

M7: SRG Selangkah Ke Pusingan Kalah Mati

11/01/2026 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Selangor Red Giants (SRG) kini hanya selangkah untuk mara ke pusingan kalah mati Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) M7, selepas menumpaskan Team Spirit hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di XO Hall di Jakarta Indonesia, SRG membariskan Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) dan dua pemain import Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent), tidak berhadapan masalah untuk memusnahkan lawan mereka iaitu kristal, dalam masa 14 minit pada perlawanan yang menggunakan format best of one.

Ini merupakan kemenangan kedua buat anak buah Michael Angelo Bocado (Arcadia) selepas menewaskan rakan senegara CG Esports pada pusingan pertama swiss stage semalam.

“Kami telah bersedia 100 peratus untuk berhadapan sesiapa sahaja untuk layak ke pusingan kalah mati,” kata Kramm selepas perlawanan hari ini.

Sementara nasib berbeza menimpa CG Esports pada penampilan pertama mereka di M7, apabila tewas buat kali kedua kali ini di tangan Aurora Gaming dalam tempoh 15 minit.

CG perlu meraih kemenangan apabila turun pada aksi ketiga esok, bagi membuka semula peluang  untuk mara ke pusingan kalah mati.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2511287