KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sabaruddin Ahmad Sabri, 60, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh akibat jangkitan paru-paru awal pagi tadi.
Suzrina Shamsuddin, 55, berkata suaminya menghembuskan nafas terakhir pada 5.28 pagi.
Difahamkan, jenazah beliau akan dibawa ke Masjid Jamek FRIM untuk disolatkan selepas zuhur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Taman Ehsan, Kepong, Selangor.
Sabaruddin meninggalkan seorang isteri dan lima anak.
Pada awal kerjayanya sebagai wartawan, Sabaruddin menyertai Bernama pada 1985 dengan ditugaskan di Meja Ekonomi sebelum menyertai Utusan Malaysia.
Beliau kemudian terlibat dalam sektor korporat termasuk berkhidmat dengan Bridgecon Holdings Bhd, sebuah syarikat pembinaan, sebelum beralih ke bidang penyiaran.
Sabaruddin seterusnya menyertai Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan dikenali sebagai pengacara program Selamat Pagi Malaysia.
Beliau juga aktif dalam organisasi kewartawanan serantau dan merupakan antara individu yang terlibat dalam Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI), inisiatif bagi memperkukuh hubungan profesional serta persahabatan dalam kalangan pengamal media kedua-dua negara.
Turut dikenali sebagai individu yang aktif dalam bidang sukan, khususnya hoki, Sabaruddin terlibat dalam pembentukan pasukan hoki Bernama pada akhir 1980-an, yang sering mengambil bahagian dalam kejohanan membabitkan agensi media dan jabatan kerajaan.
Pada fasa akhir kerjayanya, beliau berkhidmat dalam sektor swasta dan bersara tahun lepas ketika bersama Alam Flora Sdn Bhd.
-- BERNAMA