KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Bernama) -- Pemandu Honda Jazz yang didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini diperintah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli agar Mohd Izuddin Zakaria, 32, dirujuk ke hospital berkenaan mengikut Seksyen 342(3) Kanun Tatacara Jenayah.
Nur Anith Nabilah turut memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh sedang mengambil ubat psikotropik.
Terdahulu, ketika pertuduhan terhadap Mohd Izuddin dibacakan, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ummi Sharmimi Harun.
Dia didakwa memandu secara berbahaya sehingga berlaku kemalangan dan menyebabkan kematian Syakirah Hanan Mazli, 25, di lampu isyarat Jalan Kemajuan di sini pada 1.55 tengah hari 5 Jan lepas mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, Mohd Izuddin berdepan hukuman penjara minimum lima tahun maksimum 10 tahun, denda minimum RM20,000 maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun dari tarikh sabitan.
Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menggantung semua jenis kelas lesen memandu miliknya sehingga kes selesai dibicarakan dan menetapkan 12 Feb untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA