IPOH, 12 Jan (Bernama) -- Seorang wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah motosikal dalam kejadian di hadapan Dewan Bukit Pagar, Jalan Bidor Lama dekat Tapah, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Abdul Malik Hasim dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu pada 6.55 pagi.
Beliau berkata siasatan mendapati semasa kejadian, penunggang motosikal yang merupakan seorang anggota polis berusia 20-an dalam perjalanan dari kediamannya ke tempat kerja di pekan Tapah.
"Apabila sampai di tempat kejadian, warga emas berusia 80-an tersebut telah menyeberang jalan secara tiba-tiba menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran.
"Akibat daripada perlanggaran tersebut mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tapah, manakala penunggang motosikal dihantar dengan ambulans ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Abdul Malik berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah Insp Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-2087919 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di talian 05-4011222.
-- BERNAMA