Hanya RM150. Satu jumlah yang nilainya mungkin tidak seberapa jika diambil kira kos sara hidup sekarang, namun bagi Hafizah Alli yang tinggal jauh di kaki Gunung Santubong, Sarawak, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tersebut ibarat kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.
Mempunyai tiga anak yang kesemuanya masih bersekolah, wanita ini diselubungi kerisauan setiap kali sesi baharu persekolahan bermula. Manakan tidak, dengan anak-anak yang kian membesar dia perlu menggantikan seragam sekolah mereka yang tidak lagi muat untuk dipakai.
Selain itu, pelbagai yuran yang perlu dilunaskan menambahkan lagi beban kewangan sedangkan suami hanya bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan dengan gaji “cukup-cukup makan” dan dia pula suri rumah sepenuh masa.
“Bila masuk musim buka sekolah, memang kena fikir banyak perkara. Bukan setakat buku atau baju, tapi juga yuran, makan minum dan keperluan lain. Dengan adanya bantuan sebegini kami rasa sangat bersyukur... bukanlah sebab jumlahnya besar, tapi kerana dapat meringankan beban,” kongsinya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
NILAI RM150
Untuk tahun ini, kerajaan MADANI memperuntukkan RM800 juta sebagai BAP yang memanfaatkan 5.2 juta pelajar sekolah, meliputi Tahun Satu hingga Tingkatan Enam. Bantuan sebanyak RM150 seorang itu disalurkan secara terus melalui guru di sekolah bermula 11 Jan, bertujuan memastikan segala keperluan pendidikan murid dapat dipenuhi.
Bercerita lanjut, Hafizah, 39, berkata melihatkan peningkatan harga barangan keperluan persekolahan, dia dan suami merancang sebaik mungkin penggunaan BAP agar setiap ringgit yang dibelanjakan memberi pulangan nilai memuaskan.
“Kalau di sini, dulu seluar sekolah (mengikut saiz) boleh beli sekitar RM40 (sehelai), sekarang sudah naik hampir RM50. Jadi memang kena beli ikut keperluan.
“Tapi kami sudah latih anak-anak, terutama si bongsu iaitu Nur Ayesha Armani yang baru berumur 10 tahun. Kami beritahu dia kalau beg sekolah masih elok kita tangguh beli baharu. Baju sekolah pun beli satu set yang wajib dulu. Kalau ada duit lebih, barulah beli set kedua,” tambahnya.
Bagi mendapatkan nilai maksimum bantuan kerajaan itu Hafizah memilih ke bandar raya Kuching, perjalanan yang mengambil masa kira-kira 45 minit dari rumahnya, untuk membeli barangan keperluan persekolahan anak.
“Di sini memang ada kedai runcit, tapi kalau ke bandar kita boleh beli banyak barang sekolah yang lengkap sekali gus, dan ini lebih jimat sebenarnya. Mujurlah suami bekerja di Kuching, jadi dia tahu selok-belok dan kedai mana yang jual pada harga sesuai dengan kemampuan kami,” ujarnya, menambah RM150 itu digunakan sepenuhnya untuk keperluan persekolahan anak.
Pemberian BAP tidak hanya melegakan ibu bapa di luar bandar kerana di kawasan bandar juga ramai yang berasa perit setiap kali sesi persekolahan bermula, antaranya Siti Wardah yang bekerja di sektor awam.
“Saya duduk di bandar raya Kuala Lumpur dan ada empat anak dengan masing-masing dua di sekolah rendah dan dua lagi di sekolah menengah. Bila tiba musim buka sekolah, memang pening,” kongsinya, menambah BAP mengurangkan sedikit beban itu, terutama dari segi pembelian buku, peralatan dan pakaian asas.
Bersyukur dengan BAP, akan tetapi beberapa ibu bapa yang ditemui Bernama berharap bantuan itu disalurkan lebih awal.
“Sekarang BAP diberikan ketika sekolah sudah hendak dibuka, jadi mak ayah terpaksa keluarkan belanja dari poket sendiri dulu. Bukan kami tidak berterima kasih, cuma lebih bersyukur jika BAP diberikan lebih awal,” kata mereka.
MENJADI INSTRUMEN SOSIAL DAN PENDIDIKAN
Baik tinggal di luar bandar ataupun di bandar, BAP nyata sangat membantu ibu bapa, terutama mereka yang mempunyai ramai anak bersekolah, tidak kira daripada kumpulan M40 ataupun B40.
Mengulas pemberian BAP, pakar sosial Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata bantuan kewangan bukan sekadar soal wang ringgit tetapi kesan sosial yang dibawa.
“Jumlah mungkin kecil bagi sesetengah orang, tetapi impak sosial yang dibawa adalah besar. Bantuan sebegini dapat mengelakkan ibu bapa daripada berhutang atau terpedaya dengan penipuan yang menjanjikan pendapatan segera.
“BAP membantu semua, tidak kira daripada kelompok mana kerana keperluan pelajar kini kian meningkat,” kata Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia itu kepada Bernama.
Yang penting kata beliau, ibu bapa tahu berbelanja secara berhemat dan tidak terikut-ikut dengan trend popular.
“Ringkasnya, tidak perlu barang mahal, janji boleh guna kerana duit ini (BAP) adalah untuk pembangunan modal insan,” tambah beliau.
Pada masa sama, Mohamad Fazli turut mengetengahkan kesan lain hasil penyaluran BAP melalui sekolah.
“Untuk terima BAP mak ayah perlu ke sekolah anak, dan ada ibu bapa yang jarang terlibat dalam aktiviti sekolah. Jadi, secara tidak langsung BAP melorongkan interaksi antara pihak sekolah dan mak ayah,” jelasnya yang turut mencadangkan agar pihak sekolah memantau penggunaan BAP bagi mengelakkan salah guna.
“Mungkin boleh dicatatkan BAP digunakan untuk beli apa,” tambahnya.
SUNTIKAN EKONOMI DAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Bagi pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, beliau melihat BAP bukan sekadar bantuan kepada ibu bapa, tetapi juga berperanan sebagai suntikan ekonomi berskala kecil, kerana kira-kira 80 peratus daripada RM150 itu digunakan untuk keperluan sekolah seperti pembelian beg, alat tulis dan buku.
“Setiap awal tahun ibu bapa akan kalut beli kelengkapan asas anak. Berdasarkan kajian, hampir keseluruhan duit bantuan digunakan untuk tujuan itu, jadi secara langsung BAP meringankan beban keluarga dan membolehkan mereka fokus pada perbelanjaan lain,” jelas beliau.
Bagi mengukur keberkesanan BAP, pakar ekonomi itu mencadangkan penggunaan indikator perbelanjaan domestik awal tahun. Menurut beliau, perbelanjaan pada waktu ini biasanya meningkat, sama seperti keadaan yang berlaku ketika musim perayaan.
Dari segi ekonomi makro, beliau berkata keseluruhan peruntukan sebanyak RM800 juta itu secara langsung memberi impak kepada ekonomi domestik.
Pendekatan sebegini katanya menyuntik aliran tunai ke dalam sektor pakaian, buku, percetakan dan kedai runcit, sambil menghasilkan kesan domino apabila orang ramai keluar membeli-belah, sekali gus menggerakkan kitaran perbelanjaan tempatan.
“Jika dilihat dari perspektif yang lebih luas, kitaran perbelanjaan ini memberi manfaat kepada ramai pengusaha dan perniagaan di kawasan bandar dan luar bandar,” tambahnya.
Walaupun mungkin BAP berskala kecil berbanding bantuan ekonomi lain yang disediakan kerajaan, suntikan tunai sebegini sebenarnya masih mampu menggembleng ekonomi tempatan, dan secara tidak langsung membantu membina modal insan masa depan, tambah beliau.
Bersetuju dengan pandangan itu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Datuk Mohamad Abdullah berkata pusingan perbelanjaan daripada BAP dilihat telah merancakkan kitaran ekonomi tempatan.
“Kita dapat lihat BAP ini dibelanjakan di kedai-kedai dan gerai-gerai setempat yang rata-ratanya berpendapatan harian,” katanya.
TERUS BERI IMPAK POSITIF
Mengulas jumlah BAP, Muhammad Iqmal Hisham berkata dari segi ekonomi lebih luas, RM150 untuk seorang murid mungkin tidak mencukupi kerana peningkatan kos keperluan persekolahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Nilai bantuan mungkin tidak cukup menampung keseluruhan kos, tetapi ia tetap mengurangkan beban ibu bapa dan masih relevan dalam keadaan kos sara hidup semasa,” jelasnya, menambah BAP merupakan “pelaburan” jangka pendek bagi membantu anak-anak memulakan persekolahan dengan selesa.
Melihat BAP turut membawa mesej tersirat, beliau berkata untuk memastikan anak menimba ilmu dengan baik di sekolah, sokongan kewangan dan juga motivasi sosial amat diperlukan.
“Menerusi bantuan sebegini, anak-anak dapat dilatih menghargai sumber, membina disiplin kewangan, dan akhirnya menjadi generasi masa depan yang berpendidikan, berdikari serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.
“Bantuan kewangan walaupun dilihat kecil, secara nominal tetap memberi impak besar kepada keluarga dan komuniti. Ia bukan sahaja meringankan beban hari ini tetapi juga membina asas masa depan anak-anak,” rumus beliau.