DUNIA

Indonesia Sasar Naik Taraf 60,000 Sekolah Tahun Ini - Prabowo

13/01/2026 10:53 PM

JAKARTA, 13 Jan (Bernama) -- Indonesia menyasarkan untuk menaik taraf 60,000 sekolah tahun ini sebagai usaha mempercepatKAN penambahbaikan infrastruktur pendidikan di seluruh negara, kata Presidennya Prabowo Subianto.

Beliau berkata kerajaan turut menetapkan sasaran untuk menyiapkan kerja pembaikan dan menaik taraf kesemua 300,000 sekolah di Indonesia dalam tempoh empat tahun.

“Saya berharap dalam masa empat tahun, kita dapat menyiapkan pengubahsuaian semua sekolah di Indonesia, dan kita juga akan meningkatkan kualitinya dalam semua aspek,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan kampus Malang SMA Taruna Nusantara di Jawa Timur, yang disiarkan secara langsung di YouTube pada Selasa.

SMA Taruna Nusantara ialah sekolah menengah berasrama penuh peringkat nasional yang terkenal dengan disiplin, latihan kepimpinan dan standard akademik yang tinggi.

Presiden itu berkata pendidikan memainkan peranan strategik dalam pembangunan negara, sambil menegaskan bahawa ia bukan sahaja alat menghasilkan sumber manusia berkualiti tinggi, tetapi juga instrumen utama bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata melalui program pengubahsuaian sekolah dan peningkatan kualiti, kerajaan berharap dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang sesuai, selamat dan kondusif untuk meningkatkan mutu pendidikan kepada semua rakyat Indonesia.

“Pendidikan adalah instrumen pembangunan, pendidikan adalah instrumen kebajikan, pendidikan adalah instrumen demokrasi, dan pendidikan serta kesihatan adalah instrumen untuk menghapuskan kemiskinan,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512136