SUKAN

Tengku Hazman Puji Prestasi Pemain Raih Kemenangan

14/01/2026 08:56 AM

KUALA NERUS, 14 Jan (Bernama) -- Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan memuji persembahan anak buahnya selepas menundukkan DPMM FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.

Pengendali berusia 48 tahun itu berkata walaupun dicengkam keletihan susulan jadual perlawanan yang agak padat, pemain tetap mempamerkan semangat juang tinggi demi memastikan kemenangan milik skuad Penyu.

"Saya rasa malam ini dari segi permainan, hantaran dan keseluruhan saya berpuas hati. Walaupun kita baru balik dua hari lepas dari Kuala Lumpur, pemain memberi persembahan terbaik dan komitmen yang tinggi.

"Memang nampak ketara pemain keletihan. Saya berterima kasih kepada semua pemain untuk kemenangan kedua pada malam ini," katanya selepas  perlawanan Liga Super menentang DPMM FC di SSMZA malam tadi.

Tengku Hazman turut memuji tonggak import tengah baharu Panshanbe Ehsoni yang dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan.

Sementara itu, pengendali DPMM FC Jamie McAllister berkata kelemahan di zon serangan akhir menyebabkan pasukan gagal mencipta sebarang jaringan meskipun beroleh beberapa peluang.

"Kita kekurangan dari segi membuat keputusan di zon serangan. Kami mencipta beberapa peluang baik pada masa pertama namun gagal membuat keputusan tepat atau pelaksanaan yang kemas.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan sikap dan semangat juang pemain. Kami bermain dengan baik sebagai satu pasukan. Haimie (penjaga gol) juga melakukan tugasan dengan baik,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512173