KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Penglibatan sektor swasta menerusi pelbagai inisiatif kreatif dilihat penting bagi menyokong kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata sokongan sektor swasta melengkapkan usaha kerajaan dalam memperluas capaian promosi pelancongan negara ke peringkat antarabangsa.
“Komitmen seperti ini penting bagi memastikan agenda nasional dapat digerakkan secara bersama antara kerajaan dan sektor swasta sekali gus membantu merancakkan ekonomi negara serta komuniti setempat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Syiling Emas Edisi Khas Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh SMS DEEN Jewellers di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy.
Mohd Amirul Rizal berkata Tourism Malaysia mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta tampil menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui pendekatan kreatif dan inovatif yang mampu mengetengahkan identiti serta keunikan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif SMS DEEN Jewellers Mohamad Shaifudeen pula berkata penglibatan sektor swasta dalam kempen berkenaan mencerminkan tanggungjawab bersama untuk mempromosikan Malaysia di peringkat global.
Beliau berkata reka bentuk syiling emas edisi khas yang dilancarkan hari ini menampilkan elemen penceritaan mengenai Malaysia termasuk warisan budaya, makanan, seni, infrastruktur dan biodiversiti sebagai medium memperkenal negara kepada pelancong.
Syiling emas edisi khas Tahun Melawat Malaysia 2026 diperbuat daripada emas tulen 999.9 (24 karat) seberat 0.2 gram dan ditawarkan dalam edisi terhad.
Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 disasarkan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negara dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, industri serta komuniti setempat.
-- BERNAMA