PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Disebabkan Penangguhan B50 Indonesia, Paras Stok Tinggi

14/01/2026 09:47 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi and Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu, terjejas oleh berita bahawa Indonesia telah membatalkan program biodiesel B50 pada tahun ini, di tengah-tengah paras stok yang tinggi, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit yang berpangkalan di Kuala Lumpur, David Ng daripada Iceberg X Sdn Bhd berkata berita pembatalan itu melemahkan sentimen pasaran apabila pelabur menilai semula prospek permintaan.

“Laporan menunjukkan pelaksanaan B50 Indonesia, yang pada asalnya dirancang tahun ini, kini berkemungkinan ditangguhkan ke tahun hadapan dan republik itu akan mengekalkan program biodiesel B40nya,” katanya kepada Bernama.

Ng menambah paras inventori yang lebih tinggi memberi tekanan tambahan ke atas harga niaga hadapan MSM memandangkan pasaran berdepan situasi lebihan bekalan, sekali gus mengehadkan pergerakan harga ke arah kenaikan walaupun terdapat faktor-faktor sokongan lain.

“Paras stok yang tinggi cenderung menandakan permintaan segera yang lebih lemah, mendorong peniaga untuk mengambil pendirian berhati-hati dan mempertimbangkan potensi pengeluaran yang lebih perlahan dalam tempoh terdekat,” katanya.

 Data industri daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan stok MSM Malaysia meningkat 4.52 peratus bulan ke bulan kepada 1.82 juta tan pada Disember 2025, naik daripada paras November.

Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2026 susut RM15 kepada RM3,950 setan, Februari 2026 turun RM30 kepada RM4,000 setan, manakala Mac 2026 merosot RM24 kepada RM4,040 setan.

Kontrak April 2026 menyusut RM20 kepada RM4,059 setan, Mei 2026 turun RM14 kepada RM4,069 setan, manakala Jun 2026 berkurang RM10 kepada RM4,066 setan.

Jumlah dagangan turut susut kepada 91,936 lot daripada 113,314 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 257,760 kontrak daripada 260,968 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan susut RM20 kepada RM4,030 setan.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512515