KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Ketua Radio Bernama Azlan Idris meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi ini.
Berita pemergian Allahyarham disahkan ahli keluarganya.
Azlan, 57, merupakan antara individu terawal yang menyertai Bernama Radio sejak penubuhannya pada 2007.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, Allahyarham memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju operasi stesen radio berkenaan termasuk melakar strategi bagi memastikan kelangsungan serta daya saing Bernama Radio ketika industri penyiaran negara berdepan tekanan hebat susulan ledakan teknologi digital yang berkembang pesat.
Azlan mula dilantik sebagai penerbit dan peneraju secara sambilan di Bernama Radio pada 27 Ogos 2007.
Beliau juga pernah berkhidmat di stesen televisyen TV3 dan NTV7.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Wan Syahrina Wan Ab Rahman yang merupakan Pengurus Saluran dan Kandungan Bernama TV serta empat anak.
Urusan pengebumian akan dimaklumkan kemudian.
-- BERNAMA