JASIN, 15 Jan (Bernama) -- Sebiji bom lama seberat 227 kilogram (kg) ditemukan di sebuah tapak projek di Kampung Air Panas, Bemban di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Lee Robert berkata bom berkenaan ditemukan oleh seorang pekerja lelaki berusia 52 tahun ketika menjalankan kerja-kerja pengorekan tanah di tapak projek itu kira-kira 3 petang.
“Siasatan awal oleh Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin mengesahkan objek berkenaan ialah sejenis aerial bomb seberat 227 kg, berdiameter antara 27 hingga 36 sentimeter (sm) dan sepanjang 1.14 meter (m).
“Bom yang telah berkarat itu dijadualkan untuk dimusnahkan hari ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan orang awam serta kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta menjejaskan ketenteraman awam.
-- BERNAMA