KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Wanita dan Puteri UMNO menggesa kerajaan memperkukuh peranan sebagai pemacu pembangunan ekonomi mampan dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita serta generasi muda khususnya melalui sokongan terhadap jenama tempatan dan industri halal sebagai antara tunjang pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata kerajaan perlu memastikan kelangsungan dan pertumbuhan jenama tempatan yang menjadi aset penting ekonomi negara terutama dalam memperkukuh rantaian nilai domestik serta membuka peluang pendapatan kepada golongan muda.
“Kerajaan harus memperkenalkan dasar yang benar-benar membantu peniaga tempatan untuk berkembang dan memastikan pelaksanaannya bukan sekadar teori, sebaliknya dapat dirasai khususnya oleh generasi muda,” katanya ketika ucapan dasar sayap itu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Nurul Amal, sokongan itu perlu merangkumi bantuan kewangan, bimbingan serta pembinaan ekosistem keusahawanan menyeluruh bagi membantu anak muda yang berani membangunkan jenama sendiri sekali gus meletakkan produk Malaysia ke pasaran antarabangsa.
“Statistik menunjukkan sekitar satu hingga 1.3 juta anak muda terpaksa bergantung kepada kerja fleksibel atau pendapatan sampingan sebagai kerja kedua untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Kita ada kemampuan dan kuasa untuk bantu mereka, naikkan (bantu) perniagaan mereka, secara tak langsung meningkatkan kepercayaan mereka kepada kita. Ini zaman anak muda mendunia (berjaya di peringkat antarabangsa),” katanya,
Dalam perkembangan berkaitan, Wanita UMNO mencadangkan agenda Women in Halal Industry dijadikan antara agenda utama di bawah Majlis Pembangunan Industri Halal Negara (MPIH) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata langkah itu penting bagi memastikan industri halal bukan sahaja menjana keuntungan tetapi turut berperanan memperkasa wanita, mengukuhkan ekonomi keluarga dan memperteguh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata industri halal merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara dan telah mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa namun penglibatan wanita dalam sektor itu masih rendah.
“Justeru, Wanita UMNO berpandangan sudah tiba masanya agenda Women in Halal Industry diangkat sebagai agenda strategik negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO.
Beliau berkata wanita bukan sekadar menjadi pengeluar (usahawan), malah harus muncul sebagai pemain utama dalam rantaian industri halal yang semakin berkembang.
-- BERNAMA