GAYA HIDUP

Pelukis Rakam Transformasi Malaysia Menerusi Lukisan Pen Sempena TMM 2026

15/01/2026 01:50 PM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

SHAH ALAM, 15 Jan (Bernama) -- Menggunakan pen sebagai medium, artis Yuslinda Yusof merakam transformasi Malaysia dari era sebelum penjajahan hingga menjadi sebuah negara moden hari ini bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Yuslinda, atau lebih dikenali dengan nama pena Roselin, 49, berkata karya bertajuk Malaysiaku: Bermulanya Di Sini disusun sebagai naratif visual yang dibaca dari bawah ke atas, bermula dengan kehidupan sebelum merdeka, era penjajahan, kemerdekaan dan akhirnya Malaysia moden.

“Bahagian awal lukisan memaparkan kehidupan masyarakat kampung sebelum merdeka termasuk rumah Melayu tradisional, sawah padi, tumbuh-tumbuhan kampung serta haiwan ternakan sebagai simbol kehidupan sara diri.

“Apabila masuk era penjajahan, saya masukkan elemen seperti aktiviti menoreh getah, beca dan rumah kedai, selain simbol sejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Tugu Negara yang melambangkan perjuangan dan pengorbanan menuntut kemerdekaan.

“Bahagian atas lukisan pula menggambarkan Malaysia moden dengan elemen pembangunan seperti kelapa sawit, Proton Saga sebagai kereta nasional pertama, sistem pengangkutan awam, pesawat Malaysia Airlines serta bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.

pic-2

Roselin berkata beliau mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk menyiapkan lukisan tersebut, bermula dengan kajian dan pembacaan bahan sejarah sebelum diterjemahkan dalam lakaran pensel sebelum diperinci menggunakan pen bermata halus.

Dihasilkan dalam monokrom atau hitam putih kecuali dua subjek, iaitu bendera Malaysia dan sistem aliran ringan pertama negara STAR LRT, beliau berkata dengan cara itu fokus audiens akan terus tertumpu pada cerita dan struktur lukisan.

“Sehubungan itu, setiap garisan, bentuk dan bayang memainkan peranan penting untuk menyampaikan maksud serta membantu menonjolkan perincian dan susunan naratif dalam karya ini,” katanya, menambah karya tersebut dihasilkan secara manual sepenuhnya dengan setiap garisan dibina berperingkat bagi membentuk struktur dan bayang.

pic-3

“Melukis dengan pen memang ada silapnya kerana lakaran tidak boleh dipadam, jadi saya perlu betulkan semula kesilapan itu menggunakan garisan dan teknik ‘hatching’ supaya kesilapan tidak ketara,” jelasnya lagi.

Roselin yang juga bekas arkitek landskap, berkata karya itu diterbitkan dalam cetakan terhad sebanyak 20 keping bagi menjamin kualiti serta nilai ekslusif, merupakan sumbangan kreatif peribadinya untuk memperkenalkan Malaysia bersempena dengan TMM 2026.

pic-4

“Lukisan ini juga menyampaikan mesej keindahan Malaysia bukan sahaja terletak pada visual yang berwarna-warni, tetapi juga pada makna, sejarah dan jiwa tanah air.

“Justeru, saya berharap pelawat dapat melihat Malaysia bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi sebagai sebuah negara yang mempunyai sejarah, alam dan identiti yang saling berkait,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2512724