KOTA BHARU, 16 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan tiga cubaan menyeludup menerusi OPS Taring Wawasan Kelantan (OTWK) di sempadan Malaysia-Thailand semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi dilaksanakan Batalion 7 PGA bermula 7 pagi hingga 6 petang itu melibatkan tangkapan serta rampasan berkaitan penyeludupan pendatang tanpa izin, penyalahgunaan dokumen pengenalan diri dan cubaan menyeludup barang kawalan bersubsidi ke negara jiran.
Beliau berkata kes pertama melibatkan penahanan lima warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita di hadapan Masjid Beijing, Rantau Panjang kira-kira 7 pagi, dipercayai cuba memasuki negara ini secara haram.
“Semakan mendapati dokumen pengenalan diri yang dikemukakan adalah mencurigakan. Semua mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang tekong ditahan di bawah Seksyen 26(J) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Turut dirampas sebuah kenderaan Toyota Wish, dua unit telefon bimbit dan wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM42,334,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata serbuah kedua dilakukan selepas Batalion 7 PGA mengesan cubaan menggunakan kad pengenalan milik individu lain bagi penebusan subsidi minyak petrol BUDI MADANI RON95 di sebuah stesen minyak di Pengkalan Kubor, Tumpat kira-kira 11 pagi.
“Seorang lelaki ditahan di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan dua keping kad pengenalan diri Malaysia turut dirampas,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Radzi berkata kes ketiga pula melibatkan penahanan seorang lelaki di Kampung Tasik Berangan, Jeram Perdah, Pasir Mas kerana disyaki cuba menyeludup barang kawalan bersubsidi ke Thailand kira-kira 4.30 petang.
“Polis turut merampas sebuah van Nissan Vanette dan 733 paket minyak masak dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM31,916.50 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
-- BERNAMA