ISTANBUL, 16 Jan (Bernama-Anadolu) -- Ketua Majlis Kepimpinan Presiden Yaman melantik Menteri Luar Shaya Mohsin Zindani sebagai perdana menteri baharu selepas peletakan jawatan Salem bin Buriek, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik agensi berita rasmi negara itu.
Agensi berita kerajaan SABA melaporkan bahawa bin Buriek mengemukakan peletakan jawatannya kepada Rashad al-Alimi, ketua Majlis Kepimpinan Presiden, bagi “memberi laluan kepada pembentukan kerajaan baharu yang dapat mengikuti perubahan yang sedang berlaku di negara itu.”
Alimi mengeluarkan dekri yang secara rasmi menerima peletakan jawatan tersebut dan mengarahkan Zindani membentuk kerajaan baharu.
Dalam satu dekri berasingan, ketua Majlis itu melantik bin Buriek sebagai penasihatnya dalam hal ehwal kewangan dan ekonomi.
Kerajaan sedia ada akan terus menguruskan hal ehwal negara atas kapasiti kerajaan sementara sehingga Kabinet baharu dibentuk, menurut agensi itu lagi.
-- BERNAMA-ANADOLU