Oleh Rohana Nasrah
KINABATANGAN, 15 Jan (Bernama) -- Mohd Ismail Ayob yakin pengalaman enam tahun yang dimilikinya dalam memperjuangkan isu belia dan komuniti mampu diterjemah kepada mandat pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Calon Barisan Nasional (BN) itu, yang mesra disapa Miha, berkata menerusi penglibatan aktif dalam kerja-kerja sukarelawan bersama badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Unit Khidmat Masyarakat Miha yang diasaskannya, beliau amat memahami denyut nadi dan harapan pengundi yang menginginkan ‘nafas baharu’ di kawasan berkenaan.
Mohd Ismail, yang juga Pengerusi NGO berkenaan, berkata berbekalkan pengalaman yang dimiliki, beliau beriltizam membangunkan DUN Lamag dan memperjuangkan suara rakyat di peringkat akar umbi supaya sentiasa didengari serta diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkenaan.
“Dalam tempoh enam tahun menerajui NGO, saya mendapat pendedahan dan latihan bagaimana mendepani seterusnya mengatasi masalah setempat, memperkasa belia serta menyatupadukan rakyat pelbagai bangsa dan agama dalam aktiviti kebudayaan... NGO ini mempunyai 40 sukarelawan.
“Bezanya cuma daripada NGO, suara kita agak terhad dan peruntukan juga terbatas tetapi melalui platform sebagai wakil rakyat, suara kita dapat diangkat dalam Dewan Undangan Negeri, menjadi penghubung kepada kerajaan dan rakyat selain ada peruntukan untuk pembangunan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah 29 Nov tahun lepas, Mohd Ismail yang bertanding sebagai calon Bebas di DUN Lamag dan mendapat undi kedua tertinggi, tewas kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menang dengan majoriti 153 undi dalam saingan lima penjuru.
Mohd Ismail berkata selain itu, beliau juga akan memperjuangkan isu perumahan iaitu pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan penduduk di kawasan tersebut memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
PRK DUN Lamag, yang menyaksikan Mohd Ismail dicabar Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan dan saingan tiga penjuru di Parlimen Kinabatangan antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Parlimen Kinabatangan yang mempunyai tiga DUN iaitu Kuamut, Lamag dan Sukau mempunyai 48,722 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu, sejumlah 13,899 orang adalah pengundi DUN Lamag.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 24 Jan manakala 20 Jan ini sebagai undi awal.
-- BERNAMA