AM

IKIMfm Catat Sejarah Baharu, Bersiaran Dari Altitud Tertinggi

16/01/2026 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) meraikan ulang tahun ke-25 stesen radio kendaliannya, IKIMfm, dengan mencipta sejarah baharu apabila bersiaran dari altitud tertinggi sebuah pencakar langit di negara ini.

Siaran khas itu dilaksanakan dari Tingkat 92, Menara Merdeka 118, bagi merekod pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dalam kategori Highest Altitude Islamic Radio Broadcast From A Skyscraper.

Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, berkata siaran khas itu telah bermula 5 pagi tadi dan berakhir 6 pagi esok.

“Pencapaian ini bukan sekadar mencatat rekod tetapi melambangkan keberanian dan inovasi IKIM dalam meneroka pendekatan penyiaran baharu, sekali gus mengangkat martabat penyiaran Islam ke tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan itu di Masjid Al-Sultan Abdullah, Menara Merdeka 118, di sini hari ini.

Majlis sambutan di Masjid Al-Sultan Abdullah, Menara Merdeka 118 dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan dan turut dihadiri Timbalan Menteri Marhamah Rosli.

Sesi penyerahan sijil MBOR akan disiarkan secara langsung melalui slot temu bual IKIMfm dikendalikan oleh penyampai Tyzo dan Syafiq, dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Marhamah dan Mohamed Azam, pada 8 malam ini dari konti yang terletak di Menara Merdeka 118.

Dalam majlis sama, IKIMfm turut melancarkan Kempen Mahabbah MADANI Ramadan 1447 Hijrah sebagai usaha menyemarakkan nilai kasih sayang, ihsan dan kebersamaan selari dengan gagasan Malaysia MADANI menerusi pelbagai program pengisian jiwa dan ilmu yang telah disusun sepanjang Ramadan tahun ini.

Mohamed Azam berkata ini kerana IKIMfm berperanan menyampaikan mesej Ramadan yang mendamaikan jiwa, menyuburkan kasih sayang serta menggalakkan amalan kebaikan dan tanggungjawab sosial.

“Kita mahu menyampaikan kefahaman Islam kepada seluruh ummah, bukan sekadar dari aspek maklumat tetapi agar masyarakat benar-benar menghayati hikmah dan nilai Ramadan. Ini merupakan tanggungjawab IKIM dan IKIMfm,” katanya.

Stesen radio ini menyiarkan mesej kefahaman Islam melalui pelbagai program pendidikan, kerohanian dan informasi semasa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513233