KOTA KINABALU, 16 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus kekal sebagai antara agenda utama Kerajaan MADANI, kata Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperhalusi perkara-perkara di bawah MA63 yang masih perlu diselesaikan.
“Pelaksanaan MA63 dijalankan melalui perbincangan dan rundingan, terutamanya melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam ucapan pada Perasmian Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2026, di sini hari ini.
Acara tersebut dirasmikan oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi. Turut hadir ialah Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Farid Wan Saleh, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais dan Ketua Hakim Malaya Datuk Hashim Hamzah.
Mohd Dusuki berkata Pihak Peguam Negara (AGC) juga terus memainkan peranan aktif dalam memudahkan rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah, berkaitan semakan geran khas yang diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata perkara lain yang kini sedang dikaji dengan teliti oleh Kerajaan Persekutuan dalam rundingan bersama Sabah dan Sarawak, termasuk cadangan untuk meningkatkan bilangan kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada wakil daripada Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, turut dikaji ialah pemerkasaan kuasa negeri dalam perkara berkaitan pengurusan sisa terjadual, yang kini dikawal selia di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pelaksanaan perkara-perkara itu, memerlukan perbincangan yang luas dan teliti, terutamanya apabila pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan diperlukan.
Peguam Negara itu juga memberi jaminan bahawa AGC memikul tanggungjawab berat untuk memastikan semua cadangan reformasi undang-undang, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan dengan ikhlas mencerminkan aspirasi yang terkandung dalam MA63.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata perkara-perkara yang sedang dibincangkan secara aktif termasuk pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta usaha berterusan ke arah merealisasikan Borneonisasi.
“Kerajaan MADANI tetap komited untuk memajukan aspirasi sah Sabah dan Sarawak, sambil memastikan perpaduan dan integriti Persekutuan terus terpelihara,” katanya.
Mengenai kedaulatan negara, Mohd Dusuki berkata kerajaan telah mencapai kejayaan signifikan dalam usaha menangkis tuntutan tidak berasas oleh individu yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu di beberapa bidang kuasa termasuk Sepanyol, Perancis, Belanda dan Luxembourg.
Beliau menyorot sabitan terhadap arbitrator bermasalah, Dr Gonzalo Stampa di Sepanyol pada 8 Okt 2025, yang dijatuhi hukuman penjara kerana mengabaikan perintah mahkamah Sepanyol.
“Baru-baru ini, di Perancis pada 9 Dis 2025, Mahkamah Rayuan Perancis telah membatalkan Anugerah Akhir yang dikeluarkan oleh Dr Stampa pada 28 Feb 2022, kerana Mahkamah mendapati tiada perjanjian timbang tara yang sah yang mengikat Malaysia,” katanya.
Mohd Dusuki menegaskan bahawa AGC akan terus komited mempertahankan kedaulatan, imuniti dan kepentingan negara Malaysia daripada sebarang tuntutan tidak berasas oleh mana-mana individu atau entiti.
-- BERNAMA