AM

Pakar Cadang Syarikat Pusat Data Teroka Sumber Air Bawah Tanah

17/01/2026 12:04 PM

Oleh Hasnah Jusid dan Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) -- Syarikat pusat data yang merancang membangunkan fasiliti di Johor dicadangkan supaya melabur bagi mendapatkan sumber air sendiri bagi menampung operasi, termasuk meneroka potensi air bawah tanah bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem bekalan awam.

Pengarah Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Fadhil Md Din berkata kebergantungan pusat data kepada sumber air awam dalam jangka panjang berisiko meningkatkan tekanan terhadap bekalan domestik dan industri lain, khususnya apabila pembangunan fasiliti berintensif air itu berlaku secara berkelompok.

Beliau berkata pusat data ialah industri berintensif modal tetapi rendah kebergantungan kepada tenaga kerja, sekali gus memberi keupayaan kewangan kepada operator untuk menanggung kos pelaburan utiliti sendiri tanpa memindahkan beban kepada kerajaan atau rakyat.

“Pusat data tidak memerlukan jumlah pekerja yang ramai. Justeru, dari sudut ekonomi syarikat ini sebenarnya mampu melabur dalam infrastruktur air sendiri sebagai sebahagian daripada kos operasi mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penerokaan sumber alternatif seperti air bawah tanah perlu dilaksanakan secara terkawal dan berasaskan sains, tertakluk kepada kajian hidrogeologi serta pemantauan berterusan bagi mengelakkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan sumber air jangka panjang.

Mohd Fadhil menjelaskan pendekatan itu selari dengan prinsip polluter pays dan beneficiary pays, iaitu pihak yang menerima manfaat ekonomi daripada pembangunan wajar menanggung kos impak tambahan terhadap sumber semula jadi.

Pengurangan kebergantungan kepada sistem air awam bukan sahaja dapat melindungi kepentingan rakyat, malah meningkatkan daya tahan negeri terhadap risiko luar jangka seperti kemarau, cuaca ekstrem atau gangguan operasi loji rawatan air.

“Cadangan ini bukan bertujuan menghalang pelaburan, sebaliknya untuk memastikan pembangunan pusat data di Johor berlaku secara lebih seimbang, bertanggungjawab dan mampan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh sebelum ini berkata Jawatankuasa Teknikal Khas bagi permohonan pembangunan pusat data telah ditubuhkan bagi menilai kebolehlaksanaan setiap projek secara holistik, khususnya melibatkan keperluan bekalan air dan elektrik, selain isu utiliti serta kesesuaian zon pembangunan.

Mohamad Fazli berkata ketika ini terdapat teknologi penyejukan pelayan (server) yang langsung tidak memerlukan air, namun bagi pusat data yang memerlukan air, ada yang diminta untuk menggunakan air pulih guna, iaitu yang dirawat daripada Loji Rawatan Kumbahan ke Loji Rawatan Air Pulih Guna selain penggunaan air terawat. 

Alternatif lain ialah pusat data diminta untuk berkolaborasi bersama Johor Special Water (JSW) bagi membekalkan air alternatif yang boleh digunakan oleh cooling tower mereka tanpa menjejaskan sumber air terawat sedia ada.

Mohd Fadhil berkata Johor berdepan risiko tekanan jangka panjang terhadap bekalan air, tenaga dan alam sekitar sekiranya pembangunan pusat data terus diluluskan satu demi satu tanpa kawalan jelas terhadap keupayaan sebenar negeri.

Keupayaan pembangunan bukan hanya bergantung kepada satu angka, sebaliknya melibatkan kemampuan bekalan dan rawatan air, bekalan elektrik dan kapasiti grid, selain faktor alam sekitar serta guna tanah.

Pembangunan pusat data hanya selamat jika kelulusan dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh mengikut kawasan dan kelompok pembangunan, bukannya dinilai secara berasingan bagi setiap projek.

“Saya berpandangan Johor masih ada ruang untuk membangun, tetapi ruang itu ada syarat. Bekalan air dan tenaga yang nampak mencukupi pada masa ini boleh menjadi berisiko apabila berlaku gangguan, cuaca ekstrem atau pembangunan yang terlalu pantas,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, risiko utama bukan datang daripada satu pusat data, sebaliknya kesan terkumpul apabila beberapa pusat data beroperasi serentak dan memberi tekanan besar kepada sistem utiliti negeri.

Mohd Fadhil menjelaskan antara kesan paling kritikal ialah kebergantungan pusat data kepada air dan tenaga secara berterusan, memandangkan fasiliti itu memerlukan air untuk penyejukan dan bekalan elektrik 24 jam sehari.

Beliau berkata unjuran serantau turut menunjukkan permintaan tenaga pusat data di Malaysia dijangka meningkat ketara, khususnya di Johor dan Lembah Klang, sekali gus meningkatkan risiko kesesakan bekalan sekiranya perancangan sistem elektrik tidak seiring dengan kelulusan projek.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan Kerajaan Negeri Johor menetapkan penilaian keupayaan pembangunan dan kesan jangka panjang sebagai syarat awal kelulusan kluster pusat data, termasuk mengambil kira unjuran 10 hingga 20 tahun, kemungkinan kemarau, pertambahan penduduk, kadar kehilangan air serta keperluan sektor lain

Johor dijangka bakal memiliki 48 pusat data yang beroperasi sepenuhnya menjelang 2030 dengan 42 projek pembinaan pusat data telah diluluskan setakat suku kedua tahun lepas.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513445