TOKYO, 17 Jan (Bernama-Kyodo) -- Agensi Pelancongan Jepun menghasilkan papan tanda piktogram baharu yang memberi amaran kepada pelawat bahawa perbuatan memberi makan beruang, mendekati haiwan itu dan membuang sampah adalah dilarang, menurut Kyodo News.
Papan tanda itu bertujuan memberi amaran kepada pelancong asing dan orang ramai daripada semua peringkat umur melalui visual ringkas yang mudah difahami.
Memandangkan kes pertembungan dan kecederaan akibat serangan beruang semakin meningkat di seluruh negara, agensi itu berharap reka bentuk yang mudah dikenali itu akan digunakan pada papan tanda, poster dan laman sesawang oleh kerajaan tempatan serta pihak perniagaan.
Tiga papan tanda piktogram itu - simbol gambar ringkas yang direka untuk menyampaikan maklumat secara pantas - boleh dimuat turun secara percuma daripada laman sesawang agensi berkenaan. Ia memaparkan garis merah melintang pada imej individu yang memberi makan atau mendekati beruang serta menggambarkan bagaimana sampah boleh menarik perhatian haiwan berkenaan.
“Kami mahu papan tanda ini dipasang di kawasan pelancongan yang berisiko menjadi tempat kemunculan beruang bagi memastikan keselamatan pelawat,” menurut agensi itu.
-- BERNAMA-KYODO