KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerima kunjungan hormat delegasi dari Papua New Guinea diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburannya Richard Maru untuk meneroka peluang kerjasama minyak sawit lebih mendalam dengan negara ini.
MPOB dalam satu kenyataan berkata lawatan itu bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti, penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan dialog dasar bagi memperkukuh perdagangan dan pembangunan industri sawit antara kedua-dua negara.
Maru berkata Papua New Guinea kini sedang dalam fasa pembangunan rangka kerja bagi dasar kawal selia industri sawit dan negara itu berhasrat menjadikan MPOB sebagai model rujukan atas kepimpinan Malaysia dalam aspek kemajuan R&D dan ketelusan sistem kawal selia industri sawit negara.
Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata kerjasama antara kedua-dua industri minyak sawit itu perlu diteruskan melalui platform Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit.
"Ini akan membolehkan negara-negara pengeluar mengetengahkan sumbangan industri kepada keterjaminan makanan global, pembasmian kemiskinan dan pembangunan mampan, menangani salah tanggapan melalui naratif berasaskan sains dan memperkukuh penglibatan kolektif dengan badan penetapan piawaian antarabangsa," katanya.
Pada 2025, jumlah nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke Papua New Guinea mencecah RM62.5 juta, dengan sebahagian besar eksport terdiri daripada produk minyak sawit yang diproses.
Mohamad Helmy berkata industri minyak sawit Malaysia telah berkembang pesat disokong oleh pelaburan berterusan dalam kemampanan, inovasi dan tadbir urus.
“Melalui penyelidikan dan pembangunan berterusan, sistem pensijilan yang mantap dan dasar berasaskan sains, kita telah menunjukkan bahawa minyak sawit boleh berdaya maju dari segi ekonomi dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Kerjasama tersebut dijangka dapat mempelbagaikan peluang pelaburan, meningkatkan pemindahan teknologi dan memperkukuh pembinaan kapasiti, sekali gus menyokong pertumbuhan industri minyak sawit yang mampan di Malaysia dan Papua New Guinea.
-- BERNAMA