KLANG, 17 Jan (Bernama) -- Kerajaan sentiasa melihat cara terbaik untuk penambahbaikan bagi usaha memperluas jaringan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) supaya matlamatnya membantu rakyat kurang berkemampuan tercapai.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata untuk itu, usaha melebarkan jaringan kedai khususnya kedai kecil yang terlibat bertujuan memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian.
Di samping itu, beliau berkata lebih banyak produk akan dimasukkan ke dalam SARA termasuk produk tempatan dalam memberikan pilihan kepada pengguna untuk mendapat barangan keperluan.
“Dulu hanya barang-barang asas. Lepas itu kita perluas untuk penggunaan contohnya pembelian ubat gigi dan lain-lain.
“Namun, apabila kita tambah baik dan perluas (jaringan kedai), kita kena lihat cara untuk kita pantau (control) agar betul-betul dapat membantu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Komuniti MyPlus di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) atau SMK (P) Bukit Kuda, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PLUS Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Lembaga Pengarah PLUS dan Pengarah Urusan UEM Group Berhad Datuk Amran Hafiz Affifudin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilaporkan berkata penambahbaikan SARA digubal dengan penuh iltizam bagi memastikan rakyat dapat memenuhi keperluan asas secara lebih tersusun, bersasar dan berterusan.
Menerusi hantaran Facebook semalam, Anwar berkata langkah itu sejajar dengan tekad Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat, dengan sebanyak 3.1 juta individu bujang turut menerima manfaat SARA melalui pengkreditan terus ke dalam MyKad bermula semalam.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata SARA bulanan yang disalurkan sejak 9 Jan lepas menyaksikan hampir satu pertiga daripada kira-kira RM624.97 juta dibelanjakan hingga 13 Jan.
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berharap tidak akan timbul lagi isu pemohon tidak mengemukakan maklumat tidak tepat dalam permohonan bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Saya harap takkan banyak ada isu macam ini tapi bila kerajaan nampak kalau ada cara yang tidak sepatutnya, macam kes yang ini, kerajaan akan tarik balik,” katanya yang mengulas kes dakwaan seorang individu layak untuk menerima bantuan STR, meskipun hasil sewaan enam rumah miliknya menjadikan pendapatannya melebihi nilai ambang kelayakan.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan pada 14 Jan lepas berkata kerajaan berhak menarik balik sebarang bantuan termasuk STR sekiranya pemohon mengemukakan maklumat tidak tepat.
-- BERNAMA