JENAYAH & MAHKAMAH

PTD Sahkan 15 Pegawai Dikesan Terlibat Aktiviti Tidak Bermoral

17/01/2026 03:27 PM

PORT DICKSON, 17 Jan (Bernama) -- Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman mengesahkan sebanyak 15 pegawainya dikenal pasti terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya "Yeye", seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata siasatan dalaman telah dilaksanakan dan kini dalam proses untuk mengambil tindakan yang adil dan telus terhadap pegawai berkenaan.

Azhan berkata pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran perintah, arahan dan peraturan ditetapkan dalam perkhidmatan dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mereka yang terbabit.

"Ini isu penting yang perlu ditangani, saya tegaskan yang salah tetap salah dan akan dihukum. Kita tidak melindungi mereka yang didapati bersalah.

"Saya juga mengarahkan Cawangan Siasatan Jenayah Tentera Darat Malaysia (TDM) dan juga agensi berkuasa tentera darat untuk melaksanakan siasatan terperinci terhadap semua aduan diterima termasuklah mengenai aktiviti tidak memoral ini," katanya kepada pemberita pada sidang media bersempena dengan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 204/25 dan Wanita Siri 50/25 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azhan berkata kepimpinan baharu TDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai berpangkat dan akan berdepan tindakan tegas jika terbukti bersalah.

Beliau berkata isu integriti dan disiplin merupakan teras kekuatan kepada TDM dan sebarang kesalahan walaupun melibatkan satu individu tertentu, perkara itu boleh memberikan kesan besar kepada keseluruhan imej, kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap organisasi terbabit.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan dilaporkan berkata pihaknya memandang serius dakwaan berhubung kemasukan individu tidak berkaitan dan aktiviti tidak bermoral yang dilakukan di dalam kem tentera seperti tular dalam media sosial.

Sehubungan dengan itu, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah menjalankan siasatan dalaman segera bagi menentukan kesahihan dakwaan itu secara menyeluruh.

Dalam pada itu, sebanyak 1,732 Perajurit Muda termasuk 596 Perajurit Muda Wanita berjaya menamatkan Latihan Asas Ketenteraan masing-masing di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini.

Azhan berkata perbarisan tamat latihan itu menandakan kejayaan perajurit muda menamatkan latihan asas ketenteraan serta mencerminkan komitmen berterusan TDM dalam melahirkan anggota berdisiplin, berkualiti dan berwibawa demi mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513502