KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih dibarisi ratusan ribu anggota yang berintegriti, ikhlas berkhidmat serta sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara, meskipun berdepan pelbagai kontroversi.
Beliau berkata sumbangan dan pengorbanan majoriti anggota ATM tidak wajar dipandang serong hanya disebabkan tindakan segelintir individu.
Mohamed Khaled juga berkata Kementerian Pertahanan komited dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM.
“Sesiapa sahaja yang bersalah, kita akan pastikan mereka diheret ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya. Mereka yang mencemar nama baik ATM bukan cerminan akhlak dan kewibawaan (seluruh anggota).
“Masih ada ratusan ribu anggota ATM di luar sana yang berintegriti, ikhlas berkhidmat dan sedia berkorban jiwa dan raga. Jadi kepada rakyat sekalian, tolonglah berlaku adil dan munasabah terhadap ATM, jangan kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kes rasuah berhubung perolehan Tentera Darat Malaysia yang melibatkan beberapa pegawai tertinggi ATM.
Selain itu, ATM diarah menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemasukan individu luar serta wujudnya aktiviti tidak bermoral di kem tentera yang tular di media sosial.
-- BERNAMA