AM

KPKM Rampas Hampir 10,000 Kg Beras Super Import TWR5

17/01/2026 07:59 PM

PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merampas 9,750 kilogram (kg) beras super import dalam satu operasi penguatkuasaan ke atas premis pemborong beras di Batu Caves, Selangor, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, KPKM memaklumkan rampasan beras gred “Thailand White Rice 5 peratus” (TWR5) itu dilakukan pada 10.30 pagi selepas pasukan penguat kuasa KPB melakukan pemeriksaan ke atas premis berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan susulan risikan awal mengesyaki pemborong terbabit terlibat dalam aktiviti pengedaran beras seludup.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemborong berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) dan Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522),” menurut KPKM.

Dalam operasi berkenaan, pihak penguat kuasa turut menyita lesen borong beras, salinan invois serta dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membantu siasatan dan menjejaki modus operandi sindiket terbabit.

Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat KPB Putrajaya untuk siasatan lanjut, dan jika sabit kesalahan, pemborong berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000.

KPKM menegaskan KPB akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan beras, yang bukan sahaja menjejaskan kestabilan bekalan dan harga pasaran, malah memberikan kesan negatif kepada kepentingan pengguna serta pesawah tempatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513653