GAYA HIDUP

Makin Dikenali Di Tiktok, Ejie Freshies Simpan Hasrat Tampil Lagu Solo

18/01/2026 09:31 AM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Ahli kumpulan pop sensasi wanita 90-an, Freshies, Shaziena Wahid atau lebih dikenali sebagai Ejie, mengakui masih menyimpan hasrat untuk kembali ke studio rakaman dan tampil dengan karya baharu sebagai penyanyi solo.

Walaupun belum mempunyai perancangan rasmi, Ejie, 52, berkata beliau sebenarnya sudah bersedia dengan sebuah lagu solo dalam simpanan dan sedang menanti masa sesuai untuk merakam serta melancarkannya.

“Memang teringin nak buat single, tapi mungkin bukan dengan Freshies. Lagu ini saya simpan lama dan nak sangat keluarkan sebagai artis solo. Cuma setakat ini belum bergerak ke depan, bagi saya masa sikit, tengoklah kalau ada rezeki,” katanya kepada Bernama.

Selain nyanyian, Ejie yang kini aktif di aplikasi TikTok berkata platform itu membuka ruang untuk dirinya meneroka potensi lain, termasuk bakat lakonan dan sebagai juruhebah.

pic-2

“Sebelum ini saya sendiri tertanya-tanya, betul ke saya boleh buat semua ini? Bila masuk TikTok, baru saya sedar rupa-rupanya ada bakat lain. Orang (pengikut media sosial) pun kata suara saya lembut (sesuai berlakon dan jadi juruhebah), saya sendiri tak sangka,” katanya.

Kandungan santai yang menampilkan karakter “mak-mak” dengan loghat Perak secara bersahaja turut menerima maklum balas positif daripada pengikut media sosialnya, sekali gus memberi keyakinan kepada anak kelahiran Perak itu untuk terus bereksperimen dalam dunia hiburan.

Ejie berkata beliau juga terbuka menerima sebarang tawaran yang bersesuaian, apatah lagi mendapat sokongan penuh daripada suaminya, Malcolm Bridges yang merupakan warga United Kingdom.

“Kalau ada tawaran dan rezeki, saya terima saja. Suami pun selalu kata ‘go for it’. Jadi saya buka peluang dan tengok ke mana arah perjalanan ini nanti,” katanya yang kini menetap di Ipoh, Perak.

Terbaharu, Ejie bersama-sama Noor Hasimah Abu Hassan atau Shima menyertai rancangan realiti popular Gegar Vaganza 12 (GV12) dan berjaya bertahan hingga minggu ke-10.

pic-3

Mengulas lanjut, Ejie berkata selepas program itu,  kumpulannya belum mempunyai perancangan untuk mengeluarkan karya baharu, namun sentiasa terbuka menerima jemputan persembahan.

“Setakat ini kami tidak ada perancangan untuk karya baharu, tapi mana tahu kalau ada rezeki kami (ditawarkan single). Namun, sesiapa yang ingin menjemput kami (untuk persembahan), boleh sahaja. Nak berdua boleh, nak seorang pun boleh.

"Semasa masuk GV12, kalau boleh memang nak berempat, tapi Melor di Australia dan Ina ada masalah kesihatan sebab itu kami masuk berdua sahaja. Tetapi, persembahan lain insya-Allah, Ina boleh (sertai kami),” jelasnya.

Selain Ejie dan Shima,  Kumpulan Freshies yang terkenal dengan aksi tarian lincah dalam tempoh 1992 dan 1996 itu turut ditunjangi oleh Mazlena Morat (Ina) dan Melor Ulong Idris (Melor).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2513734